fbpx
Armizan (tengah) ketika sesi bergambar pada sidang media Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Program Jualan Rahmah Madani di Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Ampang Jaya. Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

27 barangan disenarai bawah SHMMP Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG – Sebanyak 27 barang keperluan diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan berkuat kuasa pada 14 hingga 28 Mac depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah barangan tersebut mengandungi satu barangan tambahan berbanding 26 jenis barangan pada tahun lalu.

“Bagi Semenanjung Malaysia, terdapat penurunan harga maksimum bagi 13 jenis barangan berbanding tahun 2025 iaitu daging kerbau import (India), sawi hijau, lobak merah (China), bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih (China), halia tua import, cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan kelapa.
“Manakala harga maksimum bagi sembilan jenis barangan dikekalkan berbanding tahun 2025 iaitu daging lembu tempatan, ikan aya @ tongkol, ikan kembung, ikan mabung, ikan selayang, kubis bulat import, timun, tomato, kacang panjang dan kacang tanah, manakala satu barangan menaiki kenaikan iaitu cili merah,” katanya ketika sidang akhbar pengumuman SHMMP di sini hari ini.

Sementara itu, Armizan berkata, ikhtiar ini penting untuk pihaknya memastikan sepanjang tempoh perayaan tidak berlaku peningkatan harga terhadap barang-barang keperluan.

“Semasa tempoh perayaan permintaan pastinya akan meningkat, maka kita khuatir akan berlaku peningkatan harga.

“Itu sebab kerajaan memperkenalkan program ini dan sebenarnya usaha ini walaupun diumumkan pada hari ini, tetapi kita telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, begitu juga dengan industri untuk mendapatkan persetujuan mereka untuk memastikan bekalan daripada awal itu adalah mencukupi termasuklah bekalan yang diimport daripada luar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 910 siri Program Jualan Rahmah Madani telah berjaya dianjurkan, manakala 988 lagi siri akan diteruskan sehingga sehari sebelum 1 Syawal.

“Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hadir ke KPDN dan beliau menyampaikan amanat agar bekalan barangan ditambah serta memperluaskan jenis Stock Keeping Unit (SKU) bagi memenuhi permintaan rakyat menjelang Aidilfitri.

“Jika sebelum ini purata barangan yang ditawarkan sekitar 40 jenis, bagi minggu terakhir Ramadan jumlah itu akan ditingkatkan kepada minimum 50 jenis barangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI