KUALA LUMPUR – Malaysia dilihat berada dalam kedudukan lebih baik untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global susulan krisis di Asia Barat, memandangkan status negara ini merupakan pengeksport bersih tenaga.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebagai pengeksport bersih, Malaysia berpotensi menerima manfaat sekiranya harga minyak meningkat namun apa yang lebih utama ialah implikasinya terhadap ekonomi domestik dan kesejahteraan rakyat.
“Keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan tenaga domestik kekal stabil. Malaysia sebagai pengeluar gas asli mempunyai bekalan mencukupi untuk memenuhi keperluan utiliti serta pelanggan industri melalui rangkaian paip gas sedia ada.
“Selain itu, bekalan petrol dalam negara juga berada pada tahap yang baik dengan stok yang mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026-2030 oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, Malaysia secara dasarnya dilihat mampu untuk menguruskan impak kenaikan harga bahan api kepada rakyat.

“Dan ini telah dijanjikan oleh Perdana Menteri, bahawa kita akan memastikan harga petrol bersubsidi di negara ini kekal stabil untuk tempoh dua bulan akan datang.
“Pada masa sama, Malaysia memulakan tahun ini dengan asas ekonomi yang kukuh apabila mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus tahun lalu, dan prestasi suku pertama tahun ini juga dilihat kekal memberangsangkan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, CMP merupakan satu pelan tindakan strategik untuk memposisikan pasaran modal Malaysia sebagai pemacu utama pertumbuhan negara dan kemakmuran ekonomi.
Jelasnya, ia menyasarkan pertumbuhan pasaran modal Malaysia pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak enam hingga lapan peratus, daripada RM4.3 trilion pada 2025 kepada RM5.8-6.3 trilion menjelang 2030.
“Pelan Induk ini adalah pelan yang bercita-cita tinggi dan kami menyasarkan untuk mengembangkan saiz pasaran modal sebanyak RM1.5 trilion hingga RM2 trilion dalam tempoh lima tahun.
“Ia mencerminkan kepercayaan bahawa kita mempunyai banyak ruang penambahbaikan dan keperluan untuk mengejar, dari segi pertumbuhan,” katanya. -KOSMO! ONLINE














