PETALING JAYA – Penjawat awam boleh menarik nafas lega apabila pembayaran gaji diawalkan kepada 13 Mac ini, sekali gus memberi ruang untuk membuat persediaan lebih awal bagi menyambut Syawal.
Apatah lagi tarikh tersebut hanya tinggal kira-kira seminggu menjelang Aidilfitri, sekali gus membuatkan ramai penjawat awam tersenyum lega.
Perkara itu dimaklumkan menerusi surat Jabatan Akauntan Negara (JANM) bertarikh 6 Mac 2026 berhubung kelulusan pengecualian Arahan Perbendaharaan (AP) 105 bagi tarikh pembayaran emolumen untuk Mac dan April tahun ini.
Berdasarkan surat tersebut, difahamkan, Perbendaharaan Malaysia meluluskan permohonan pengecualian bagi membolehkan pembayaran gaji penjawat awam dibuat lebih awal berbanding jadual asal.
Menerusi jadual yang disertakan, pembayaran gaji bagi Mac ditetapkan pada 13 haribulan bersamaan Jumaat, manakala bagi April pula pada 16 haribulan iaitu Khamis.
Kelulusan itu dibuat dengan merujuk kepada surat Kementerian Kewangan bertarikh 5 Mac 2026 dan Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bilangan 5 Tahun 2025 berkaitan tarikh dan peraturan pembayaran emolumen tahun 2026.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai penjawat awam meluahkan rasa syukur dan lega apabila pembayaran gaji bagi Mac diawalkan, sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk membuat persiapan awal menjelang Aidilfitri.
“Alhamdulillah tahniah semua penjawat awam, kena berhemah dalam berbelanja. Masuk cepat, habis pun cepat. Duit tuntutan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) pun dah tak lama tu nak masuk,” kata Mohd Saharudin.
“Ini baru denyut nadi penjawat awam. Macam tahu-tahu je kita sesak macam-macam (persiapan) nak lengkapkan untuk raya ini. Belum kira lagi kos balik kampung, alhamdulillah,” ujar Muhammad Soleh.
“Nak tunggu gaji bulan Mei menangis pula. Apa-apa pun syukur, gaji masuk awal. Sekarang pun memang dah ‘kering’,” komen Azriani. – KOSMO! ONLINE














