fbpx
Gambar hiasan

Jangan pinggirkan Felda dalam projek pembangunan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri mahu semua kementerian dan jabatan tidak mengetepikan kawasan Felda dalam pelaksanaan sebarang projek atau inisiatif baharu kerajaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting supaya Felda tidak lagi dilihat sebagai entiti asing tanpa sebarang pembangunan.

“Saya telah arahkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, semua jabatan dan kementerian, jika ada projek atau apa-apa ikhtiar baharu jangan tinggalkan Felda sebagai satu kawasan yang terasing.

“Setiap kemudahan kerajaan dari sudut kemudahan pendidikan, sosial, jangan tinggalkan Felda,” katanya di Menara Felda semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendekatan lama yang meletakkan Felda seolah-olah mampu bergerak sendiri tanpa integrasi menyeluruh dengan dasar nasional, perlu dihentikan.

Pada masa sama, beliau mengakui Felda pernah melalui fasa sukar yang melelahkan namun menegaskan sejarah pasang surut itu perlu dijadikan pengajaran untuk bangkit semula.

“Hal dulu, akibat legasi, kita kena nyahsenarai FGV (Holdings) (di Bursa Malaysia) tapi keputusan yang melelahkan akibat permasalahan besar itu kini dijadikan suatu yang membina dan nyahsenarai itu kini menjadi pemacu utama untuk mengangkat kedudukan Felda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar sambutan ulang tahun ke-70 Felda diadakan secara besar-besaran di kawasan Felda sendiri, bukan di bandar atau dewan tertutup bagi menyemarakkan semangat warga peneroka.

Beliau mahu syarikat berkaitan seperti Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) dan entiti lain dalam ekosistem Felda dilibatkan secara langsung dalam penganjuran program tersebut.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI