PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa komitmen berterusan seluruh penjawat awam amat penting bagi memastikan usaha membawa negara ke tahap lebih maju dan berdaya saing dapat direalisasikan.
Beliau berkata, aspirasi Malaysia Madani menuntut setiap penjawat awam mengutamakan nilai amanah, integriti serta profesionalisme tinggi khususnya dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu dan mencabar.
“Dalam usaha membawa negara ke tahap yang lebih maju dan berdaya saing, ia menuntut komitmen berterusan seluruh penjawat awam untuk menjayakan aspirasi Malaysia Madani dengan menitikberatkan amanah, integriti serta profesionalisme tinggi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, beliau hari ini mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan bersama warga Jabatan Perkhidmatan Awam.
Menurutnya, mesyuarat itu bagi membincangkan langkah reformasi perkhidmatan awam yang bertujuan memperkukuh kecekapan tadbir urus serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Kata beliau, usaha berkenaan turut berkait rapat dengan penerapan teknologi baharu termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi meningkatkan produktiviti.
Jelas beliau, AI mempercepatkan proses kerja serta memperkukuh keupayaan perkhidmatan awam dengan penggunaan teknologi tersebut mampu menjadikan perkhidmatan awam lebih responsif, cekap dan berkesan dalam memenuhi keperluan rakyat. – KOSMO! ONLINE














