PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi membincangkan perkembangan keselamatan di Asia Barat yang semakin meruncing susulan beberapa siri serangan yang menggugat kestabilan rantau berkenaan.
Menurut Anwar, Malaysia menyatakan solidariti kepada Turkiye berikutan insiden peluru berpandu balistik yang dilaporkan menuju ke arah ruang udara negara itu, sekali gus menggambarkan tahap keselamatan serantau yang semakin rapuh.
“Malam tadi saya berhubung dengan Presiden Erdogan untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan yang semakin meruncing di Asia Barat susulan siri serangan yang menggugat kestabilan rantau tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Perdana Menteri berkata, kedua-dua mereka turut menyentuh insiden pembunuhan beberapa pemimpin kanan Iran termasuk
Ayatollah Ali Khamenei yang menurutnya berisiko menjerumuskan Asia Barat ke dalam tempoh ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan.
“Peristiwa ini berisiko menjerumuskan Asia Barat ke dalam ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan. Kami senada bahawa semua pihak perlu menunjukkan tahap kawalan diri dan kebijaksanaan tertinggi bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia menyeru semua pihak supaya menurunkan ketegangan serta menghentikan serangan yang berpotensi mencetuskan ketidakstabilan lebih luas melangkaui Asia Barat.
Menurut beliau, pendekatan berteraskan dialog dan diplomasi perlu diberi keutamaan bagi meredakan konflik.
Dalam perbualan sama, Anwar juga menyentuh perkembangan isu Palestin dan menyatakan penghargaan terhadap Turkiye serta beberapa negara lain yang mengutuk keputusan Israel memperluaskan penempatan haram di Tebing Barat.
“Pendirian Malaysia jelas bahawa tindakan rejim Zionis itu merupakan pencabulan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri turut berhubung dengan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund bagi membincangkan ketegangan yang semakin memuncak antara Afghanistan dan Pakistan ketika ini.
Kata Anwar, beliau dalam perbualan itu menegaskan bahawa kedua-dua negara perlu menahan diri serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
“Tindakan ketenteraan yang telah meragut ratusan nyawa di kedua-dua belah pihak mesti dihentikan segera.
“Malaysia menggesa agar ketegangan ini ditangani melalui dialog dan saluran diplomatik bagi mengelakkan konflik berpanjangan yang hanya akan membawa kesengsaraan kepada rakyat serta menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau,” katanya. – KOSMO! ONLINE














