fbpx
Poster yang dimuat naik oleh PHM di laman Facebook.

Lagu raya lama ‘kunci’ almari memori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Banyak lagu raya baru kebelakangan ini diperkenalkan setiap tahun, dengan rentak moden dan lirik yang segar. Namun, lagu-lagu lama tetap mendapat tempat istimewa di hati ramai.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan, lagu raya lama bukan sekadar hiburan, sebaliknya bertindak sebagai ‘kunci’ yang membuka almari memori dalam fikiran seseorang.

Menurut PHM, apabila usia meningkat, sambutan Aidilfitri mungkin kelihatan lebih meriah namun dalam masa sama terasa lebih berat dengan pelbagai komitmen dan tanggungjawab.

Oleh sebab itu, otak manusia memilih untuk kembali mendengar lagu-lagu yang lebih biasa didengari.

“Lepas kita besar, raya makin cantik tapi makin berat. Ada komitmen, ada duit yang kena fikir, ada kerja yang tak habis, ada hubungan yang tak semudah dulu.

Jadi bila lagu lama masuk, otak kita pilih yang ‘familiar’ sebab itu yang rasa selamat. Kita dah tahu rentak, dah hafal lirik, dah boleh agak emosi dia,” ujarnya.

PHM turut menyatakan, ada kalanya lagu raya lama membuatkan seseorang berasa sebak kerana ia membawa kembali kenangan terhadap fasa kehidupan yang dirindui.

“Waktu keluarga masih lengkap, waktu rumah masih bising, waktu kita masih tidak terbeban. Lagu itu seolah-olah beri ruang untuk kita ‘pulang’ walaupun jasad masih di tempat yang sama,” ujarnya.

Tambahnya, perasaan tiba-tiba diam atau sayu ketika mendengar lagu raya lama adalah sesuatu yang normal dan tidak perlu dinafikan.

“Itu tanda anda pernah rasa bahagia yang sebenarnya, sehinggakan otak simpan dia kemas-kemas,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN