LONDON – Seorang guru dan artis di Britain memecahkan Guinness World Records selepas berjaya mengumpul lebih 850 pelajar untuk menyertai sesi pembelajaran rap, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
MC Grammar mencatatkan rekod sesi pembelajaran rap terbesar dunia di New Wimbledon Theatre, barat daya London baru-baru ini.
Seramai 859 kanak-kanak dari 18 buah sekolah diajar cara untuk menyanyi rap dan menghasilkan irama sepanjang pelajaran selama 30 minit itu.
“Kami mencipta sesi pembelajaran rap terbesar dunia dan ia sangat menakjubkan!
“Ia merupakan detik besar buat kanak-kanak itu dan saya berharap ia menjadi kenangan yang mereka akan hargai selama-lamanya,” kata MC Grammar.
Juri Guinness World Records, Craig Glenday berkata, percubaan memecahkan rekod dunia itu telah memberikan inspirasi dan menaikkan semangat semua peserta. – AGENSI














