MADRID – Sepanyol menyatakan bahawa Amerika Syarikat(AS) tidak menggunakan dan tidak akan menggunakan pangkalan tenteranya untuk operasi menyerang Iran, lapor saluran berita Al-Jazeera.
“Berdasarkan semua maklumat yang saya ada, pangkalan-pangkalan tersebut tidak digunakan untuk operasi ketenteraan ini,” kata Menteri Luar Jose Manuel Albares kepada televisyen awam Sepanyol semalam.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengutuk serangan AS dan Israel ke atas Iran yang bermula Sabtu lepas sebagai ‘campur tangan ketenteraan tidak wajar lagi berbahaya’ serta di luar skop undang-undang antarabangsa.
“Kerajaan Sepanyol tidak akan membenarkan penggunaan pangkalannya untuk tujuan yang bercanggah dengan perjanjian dan tidak konsisten dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Albares, merujuk kepada pangkalan tentera laut Rota dan pangkalan udara Moron.
AS beroperasi di pangkalan tersebut di bawah perjanjian penggunaan bersama, tetapi ia kekal di bawah kedaulatan Sepanyol.
Menteri Pertahanan Margarita Robles berkata, pangkalan-pangkalan tersebut ‘tidak akan memberikan bantuan melainkan dalam keadaan tertentu khususnya keperluan kemanusiaan’.
Sepanyol turut mengutuk serangan balas Iran ke atas negara-negara Teluk. – AGENSI














