fbpx
Gambar hiasan

Nilai ringgit melonjak 4.31 peratus setakat 1 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan nilai ringgit terus meningkat sebanyak 4.31 peratus kepada RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat 1 Mac 2026.

Beliau berkata, pengukuhan ringgit mencerminkan asas domestik yang kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 pada 5.2 peratus mengatasi unjuran asal.

“Pertumbuhan ini disokong pengembangan merentasi sektor, khususnya perkhidmatan dan pembuatan dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama ekonomi,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Negara.

Katanya, dari segi perkembangan global penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat serta jangkaan persekitaran kadar faedah yang lebih rendah dalam kalangan ekonomi utama dunia menyokong pengukuhan nilai ringgit.

“Keadaan ini turut dipacu sentimen pelabur yang positif, persekitaran perdagangan dunia yang berkembang serta aliran pelaburan portfolio dan pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata, komitmen ditunjukkan kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan telah meyakinkan pelabur dan memacu pertumbuhan ekonomi.

“Pertumbuhan KDNK suku keempat 2025 mencatat 6.3 peratus, tertinggi bagi tempoh tiga tahun dan mengatasi anggaran awalan.

“Ini mendorong pertumbuhan KDNK keseluruhan 2025 pada 5.2 peratus (2024: 5.1 peratus), sekali gus melepasi unjuran rasmi kerajaan antara 4 dan 4.8 peratus,” katanya.

Beliau berkata, dengan politik yang stabil, dasar ekonomi dapat dilaksanakan dengan jelas dan berkesinambungan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN