
KUALA LUMPUR – Menepati semangat memberi dan kebersamaan komuniti sempena bulan Ramadan yang mulia, jenama beras tempatan, Jati menyumbang 1,500 pek beras berkapasiti lima kilogram kepada Masjid Jamek Kampong Bharu, di sini untuk memasak bubur lambuk yang disedekahkan kepada orang ramai.
Jumlah beras yang disumbangkan itu mencukupi untuk pengagihan bubur lambuk oleh masjid berkenaan setiap petang sepanjang bulan Ramadan kali ini.
Pengurus Perhubungan Awam dari Serba Wangi Food Sdn. Bhd., Azri Fahmi Md. Farid berkongsi, inisiatif bubur lambuk ini menandakan kerjasama rasmi pertama seumpamanya bagi Jati bersama pihak masjid dan syarikat merancang untuk terus menaja serta menyokong program tersebut pada tahun-tahun mendatang sebagai sebahagian daripada usaha jangkauan komuniti jangka panjang.
Serba Wangi adalah syarikat pengeluar beras utama negara, dengan jenama popular seperti Jati sejak tahun 1993 dan turut mengeluarkan jenama beras lain seperti Kapal Layar, Carnation, Songhe Noble Pine Crane, Songhe Lotus, Fres-Harves dan ecoBrown’s.

“Ramadan adalah masa untuk bermuhasabah, bersyukur dan memberi kembali. Melalui penajaan beras untuk Bubur Lambuk Masjid Jamek Kampong Bharu, Jati berharap dapat menyumbang kepada semangat kebersamaan dan menyokong komuniti dengan tindakan yang ringkas, tetapi bermakna.
“Sebagai jenama beras isi rumah yang dipercayai di Malaysia, Jati percaya beras lebih daripada sekadar makanan ruji. Ia adalah simbol kebersamaan, kemurahan hati, dan tradisi,” katanya kepada pemberita selepas agihan bubur lambuk di sini baru-baru ini.
Masjid Jamek Kampong Bharu adalah sebuah masjid bersejarah dan ikonik di Kuala Lumpur dan telah lama terkenal dengan aktiviti Ramadan yang meriah serta penglibatan komuniti yang rancak, terutamanya agihan bubur lambuk menyelerakan setiap kali bulan puasa.
Bendahari masjid berkenaan, Herman Shah Ideris Shaari berkata, pihaknya menganggarkan sebanyak 3,000 bungkus Bubur Lambuk Masjid Jamek Kampong Bharu akan disedekahkan kepada jemaah masjid dan komuniti setempat setiap petang sepanjang Ramadan tahun ini, yang mana setiap satu cukup untuk dinikmati tiga orang.
“Setiap hari, kami akan memasak 15 periuk bubur lambuk dan setiap periuk boleh menghasilkan 200 bungkus bubur.
“Bagaimanapun jumlah ini akan semakin berkurangan apabila kita menghampiri penghujung bulan Ramadan berikutan permintaan untuk bubur lambuk kebiasaannya akan menjadi semakin rendah. Kami selalunya memasak sekitar 350 periuk bubur lambuk secara keseluruhan pada setiap Ramadan,” katanya.
Mengulas lanjut, Azri Fahmi menjelaskan, beras yang disumbangkan pihaknya ialah beras Super Import Jati Signature Premium Super Special yang ada ditawarkan di pasaran dengan pek berwarna biru.
“Ia merupakan beras putih premium dan sesuai untuk makanan harian atau dijadikan bubur lambuk.
“Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pihak pengurusan masjid, beras ini cantik apabila dimasak menjadi bubur dan ia ‘pecah’ dengan baik. Jadi beras ini memang elok,” ujarnya.
Tambah beliau, sempena Ramadan kali ini, Jati turut bekerjasama dengan pempengaruh nombor satu negara, Khairul Aming untuk berkongsi resepi menggunakan beras keluarannya.
Jelasnya, ia susulan kerjasama yang telah terjalin sebelum ini, apabila Jati dan Serba Wangi Food menghulurkan sumbangan bersama pemilik Rembayung itu dalam usahanya melaksanakan misi bantuan banjir besar-besaran yang menyasarkan hampir 10,000 mangsa di Pasir Mas, Tumpat, dan Machang, Kelantan pada hujung tahun 2024.
“Inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami tidak terhenti setakat bulan Ramadan.
“Kami telah membentuk kerjasama dengan 40 pertubuhan rumah kebajikan, rumah orang tua dan rumah perlindungan kanak-kanak kurang bernasib baik untuk membekalkan beras bagi kegunaan mereka sepanjang tahun,” katanya.














