fbpx
Antara wanita warga asing yang dicekup JIM dalam Ops Gegar di Kepong, semalam. - Foto Imigresen

Ops Gegar: Wanita asing dikendali ‘mummy’ antara 107 ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 107 warga asing ditahan dalam serbuan di dua pusat hiburan elit di kawasan perindustrian kecil Kepong di sini menerusi Ops Gegar semalam.

Operasi bermula pukul 11 malam itu dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas selepas Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Jabatan Imigresej (JIM) melakukan risikan susulan maklumar daripada orang awam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 224 individu terdiri daripada 171 warga asing dan 53 warga tempatan diperiksa dalam operasi tersebut.

“Risikan mendapati premis tersebut dikawal pengawal keselamatan, manakala wanita asing pula dikendalikan individu berperanan sebagai penyelaras atau ‘mummy’ bagi mengatur perkhidmatan melayan pelanggan dan persembahan pentas.

“Bayaran dipercayai ditentukan melalui sistem kad berwarna dengan kadar bermula RM100 hingga RM1,314.

“Daripada jumlah itu, seramai 107 warga asing terdiri daripada 65 wanita dan tiga lelaki Thailand, 18 wanita Vietnam, 11 lelaki Bangladesh, tujuh wanita Laos serta tiga wanita Indonesia ditahan kerana  tiada dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pasukan operasi turut menyita cip bayaran, kalung, set komputer dan televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipercayai digunakan bagi aktiviti premis.

Kesemua warga asing terbabit disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Mereka ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut.

Tujuh warga tempatan diberikan notis hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI