KUALA LUMPUR – Komitmen menjaga kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dizahirkan apabila 16,000 beg sumbangan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M disiapkan untuk anggota yang bertugas di perbatasan negara.
Markas ATM Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan berkata, aktiviti pembungkusan sumbangan itu dilaksanakan Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA), Seksyen Kebajikan ATM dengan kerjasama Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat).
Program yang berlangsung di Dewan Mulia, Rumah Bakat ATM, Kem Kementah itu diketuai Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat, Datin Siti Juana Md. Ibrahim dan disertai 50 ahli Bakat darat, laut serta udara.
“Sebanyak 16,000 bungkusan disiapkan secara berperingkat sejak sebulan lalu dengan 400 beg terakhir disempurnakan dalam satu acara khas hari ini.
“(Program ini) sebagai simbol solidariti dan penghargaan kepada anggota yang berkorban masa bersama keluarga demi mempertahankan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, majlis penyerahan rasmi beg sumbangan dijadual berlangsung pada 10 Mac ini dan akan disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum diagihkan kepada markas formasi perkhidmatan untuk diserahkan kepada anggota terlibat.
Inisiatif itu selari dengan Tonggak Ke-5 Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-24 iaitu ‘Cakna Anggota, Keluarga dan Veteran ATM, Berpisah Tiada’ yang menekankan kesejahteraan serta moral anggota sebagai tunjang kekuatan pertahanan negara.
“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan berbentuk material, sebaliknya simbol ingatan negara kepada perwira yang terus berdiri di barisan hadapan ketika rakyat menyambut hari kemenangan bersama keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE














