RIYADH – Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo menyatakan kesetiaan kepada Al-Nassr meskipun ada spekulasi yang mendakwa dia sedia untuk meninggalkan Arab Saudi kerana ada krisis dengan pelaburan paskukan itu.
Sebelum ini, timbul kerisauan dalam kalangan peminat Al-Nassr apabila Ronaldo tidak bermain tiga perlawanan selepas menyatakan kebimbangan berhubung penggunaan dana awam untuk kewangan pasukan itu.
Ronaldo memberikan kelegaan kepada peminat-peminat pasukan itu selepas menyuarakan keinginannya untuk terus kekal di Arab Saudi dengan kontrak semasa akan tamat pada Jun tahun depan.
“Saya sangat gembira dan seperti yang saya cakap sebelum ini, Arab Saudi boleh dianggap seperti rumah sendiri. Ia merupakan negara yang menerima kehadiran saya, keluarga serta rakan-rakan dengan baik.
“Saya tidak ada sebarang masalah dan mahu terus kekal berada di sini. Apa yang penting sekarang adalah untuk terus membantu pasukan mencapai setiap sasaran yang diletakkan,” kata pemain berusia 41 tahun itu.
Ketika ada desas-desus mengatakan Ronaldo mungkin meninggalkan Al-Nassr dan kembali ke Eropah, beberapa pasukan sudah pun menyatakan minat bagi mendapatkan khidmat legenda Real Madrid itu.
Sementara itu, saingan di Arab Saudi juga merupakan peluang terbaik Ronaldo untuk memenuhi impiannya menjaringkan 1,000 gol memandangkan ketika ini dia sudah pun mengumpul 964 gol sepanjang karier. – AGENSI














