fbpx
Gambar hiasan - Kredit JANAAN AI

Ramai Gen Z berbuka di masjid, meluat dengan ‘pengawas makanan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai terutama golongan Gen Z meluat dan kesal dengan segelintir individu status ‘pak cik’ dan ‘mak cik’ didakwa ahli jawatankuasa masjid dikatakan suka marah tanpa sebab dan biadab sewaktu menegur jemaah yang hadir untuk berbuka puasa dan solat tarawih.

Keluhan itu dikongsikan orang ramai di media sosial, malah perbuatan ‘pak cik’ dan ‘mak cik’ dilabel seperti ‘pengawas makanan’ atau ‘pengawas masjid’ ini turut membuatkan mereka enggan pergi ke masjid yang dikatakan terlibat dengan perbuatan itu.

Seorang pengguna Thread Seridewiamin mendakwa mengalami pengalaman pahit berbuka puasa bersama keluarga di sebuah masjid di Johor apabila anaknya berusia tujuh tahun dimarahi dan tangannya didakwa direntap sewaktu sedang mengambil makanan.

“Kena hadap perangai mak cik ‘pengawas masjid’ ni, anak aku beratur nak ambil makanan, bila giliran anak aku, anak aku hulur tangan nak ambil, dia terus rentap tangan anak, ‘nah ambil cepat jalan’. Anak aku tercengang, anak baru tujuh tahun, teruja nak buka puasa masjid.

“Suami aku beratur nak ambil makanan dan nampak pinggan kuih yang ada sebiji kuih seri muka. Suami aku nak ambil yang ada kuih seri muka sebab anak suka. Baru nak ambil, pak cik yang jaga tu, ‘jangan memandai ambil sendiri’. Dia rampas pinggan tu, bila suami cakap, ‘maaf cik, saya nak yang ada seri muka’, dia jawab, ‘dah tu, tukar lah’.

“Dalam masjid, ada seorang anak kecil ni menangis. Dah tentulah mak budak tu pujuk cepat-cepat, mak cik pengawas ni terus bangun, ‘shhh shhh’, bagi jelingan,” dakwanya menerusi hantaran.

Seorang lagi pengguna Thread Syahidasahidan mendakwa, anaknya berdepan situasi tidak diingini ketika sedang mengambil makanan berbuka di masjid.

“Majoriti orang masjid macam tu, dia orang layan kita macam peminta sedekah. Anak aku nak ambil nasi, siap cakap lagi, ‘tadi dah ambil kan’. Bila masa pula anak aku dah ambil, kalau orang beratur tu nak ambil nasi, bagi saja lah tak payah tanya. Selalu tengok dia orang hari-hari nasi lebih bawa balik, dah selalu lebih,” katanya.

Pengguna Thread Mekyayaya turut berdepan pengalaman kurang senang sewaktu solat di sebuah masjid di Terengganu apabila ahli jawatankuasa masjid berkenaan didakwa memarahi jemaah dengan kasar.

“Dah 10 kali aku pergi sana, tetapi aku kena marah tak tahu pasal apa. Akhir sekali tarawih baru-baru ni, aku menjawab juga, terus senyap. Mak cik memang perhati dan bangun marah orang. Pergi dekat seorang-seorang ahli jemaah perempuan, nada marah ye, bukan menegur,” katanya.

Ada juga berkongsi pengalaman pahit di luar waktu Ramadan, termasuk pengguna Thread Alfatehmf yang pernah ditampar di kepala kerana tidak menjawab salam seorang pak cik, sedangkan dia orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

“Kejadian tahun lalu, kena tampar kepala gara-gara tak dengar orang bagi salam. Manalah nak dengar sebab tak pakai alat pendengaran. Rambut pula masih basah sebab baru lepas ambil wuduk. Sejak itu, saya elakkan masjid ini,” katanya merujuk kepada masjid tersebut di Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN