PETALING JAYA – Fenomena jualan siaran langsung baju raya kini dilihat lebih mencabar daripada ‘battle’ mendapatkan tiket konsert apabila rekaan pakaian raya berkonsepkan ‘macha strawberi’ didakwa habis terjual dalam tempoh kurang 10 saat setiap kali dipaparkan.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna media sosial, Atikah Md, yang meluahkan rasa ‘geram’ apabila gagal mendapatkan busana idamannya walaupun sudah bersedia lebih awal di hadapan telefon.
“Setiap kali tonton live baju raya, tak sampai 10 saat macha strawberi ‘sold out’. Baru nak tekan ‘add to cart’, dah habis,” tulisnya.
Menurutnya, dia sudah beberapa kali mencuba nasib di beberapa siaran langsung pelbagai jenama, termasuk memastikan talian internet berada dalam keadaan terbaik, namun tetap kecewa apabila stok pantas licin disambar pembeli lain.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai berkongsi pengalaman sama, malah ada yang mengakui membeli baju berwarna campuran hijau dan merah jambu itu kini seperti ‘berperang’ sesama sendiri demi mendapatkan warna yang sedang trending (sohor kini) tahun ini.
“Belum sempat nak tengok perincian kain, dah keluar tulisan sold out (habis terjual),” kata Musfirah.
“Saya rasa admin pun terkejut kot, baru masuk beg kuning baju terus habis, tak sempat tunjuk sampel,” seloroh Zuleen.
“Warna tu memang viral tahun ni, ramai tunggu. Ada yang sanggup beli dua pasang baju hijau dan merah jambu untuk tema macha strawberi,” kongsi Nick.
Semakan Kosmo! pada ruang jualan beberapa jenama pakaian terkenal, pilihan warna tersebut sudah habis terjual meskipun baru seminggu umat Islam berpuasa. – KOSMO! ONLINE














