KULAI – Sebuah kilang plastik di Jalan Sengkang di sini musnah dalam kebakaran petang semalam namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Pusat Gerakan Oerasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berlaku kira-kira pukul 4.37 petang.
Menurut Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penguasa Bomba Muhammad Fauzi Awang, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, BBP Bandar Baru Kulai serta BBP Skudai digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati berlaku kebakaran melibatkan longgokan plastik di kawasan kilang berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Fauzi berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah kenderaan utiliti jenis Hilux bagi mengawal api daripada terus merebak ke struktur berhampiran.
Katanya, api yang marak membakar bahan plastik menghasilkan asap tebal yang boleh dilihat dari beberapa kilometer, namun tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke premis lain.
Jelasnya, setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














