PETALING JAYA – Tindakan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menunaikan solat dengan mengenakan jubah tanpa telekung mengundang persoalan dalam kalangan oarang ramai mengenai ibadah tersebut.
Menjawab kekeliruan itu, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim berkata, solat penyanyi nombor satu negara itu adalah sah.
“Ramai tanya saya adakah solat DS (Datuk Seri) Siti ini sah? Jawapan saya, solat DS Siti sah,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebooknya.
Menurut beliau, antara syarat sah solat bagi wanita ialah menutup aurat dengan sempurna, manakala pemakaian telekung bukanlah satu kewajipan dari sudut hukum, sebaliknya lebih kepada adat dan kebiasaan masyarakat.
“Beliau tutup aurat untuk solat. Telekung bukan syarat sah solat, telekung hanya budaya, bukan rukun atau syarat sah solat,” katanya.
Penjelasan itu sekali gus meredakan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial yang sebelum ini mempertikaikan penampilan penyanyi tersebut ketika solat.
Terdahulu, tular beberapa gambar memaparkan penyanyi lagu Anta Permana itu menunaikan solat dengan hanya berjubah selepas menghadiri sebuah majlis berbuka baru-baru ini, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. – KOSMO! ONLINE














