PEKAN – Umat Islam di negeri ini yang baru seminggu berpuasa dikejutkan dengan penularan dalam media sosial tindakan seorang penuntut universiti awam yang dipercayai mencemarkan Islam termasuk menghina nabi Muhammad dan memijak al-Quran.
Sehubungan itu tindakan melampau itu mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang mahu tindakan diambil terhadap individu yang jelas menyentuh isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, tindakan tegas perlu dikenakan mengikut peraturan dan undang-undang yang ada sebagai satu pengajaran kepada individu berkenaan agar perkara seperti itu tidak berulang lagi.
“Andainya benar ia bukan sahaja mengguris perasaan umat Islam tetapi menggugat keharmonian bumi Pahang dan Malaysia yang selama ini terjaga dengan baik.
“Kita umat Islam tidak pernah buat kelakuan seperti ini kepada mana-mana agama dan agama mengajar kita berdakwah, jadi wajar diberikan tindakan tegas bagi memberikan pengajaran,”katanya di sini hari ini.
Hari ini tular dalam media sosial tindakan seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang bertindak menghina Islam.
Susulan itu Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) dalam kenyataannya menyatakan siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah kaedah-kaedah universiti dan kolej universiti (UMPSA) tatatertib pelajar 2024.
Menurut Syed Ibrahim pihaknya menyerahkan kepada UMPSA untuk mengenakan tindakan sewajarnya sekiranya siasatan mendapati pelajar berkenaan bersalah.
“Ini terpulang kepada UMPSA, dia ada skop kuasa dia untuk bertindak dan kita juga tidak boleh menghalang orang ramai membuat laporan polis,”katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Pekan, Fakhrul Akhmal Mohamad berkata, pihaknya akan menghantar memorandum khas mendesak pihak UMPSA mengenakan tindakan tegas demi nama baik universiti dan keharmonian kaum di Malaysia.
Katanya perbuatan tersebut adalah satu tindakan yang biadab, melampaui batas kebebasan bersuara dan jelas bakal mencetuskan ketegangan antara agama serta mengganggu ketenteraman awam.
Sementara itu Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berkata susulan itu polis telah menahan seorang penuntut universiti yang dimohon tahanan reman hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998.














