fbpx
PRESIDEN NAAM, ABDUL HAMID HASAN

ASIAKOM senjata baharu compound negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Empat pemanah compound lelaki negara dipilih menyertai program elit ASIAKOM sebagai sebahagian pelan strategik jangka panjang Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia dalam misi memburu pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya serta Sukan SEA Malaysia 2027.

Program yang dilaksanakan sejak 2025 itu memberi tumpuan khusus kepada acara compound susulan potensi disiplin berkenaan dipertandingkan di Olimpik menerusi kategori berpasukan campuran yang hanya menawarkan satu pingat emas.

Presiden NAAM, Abdul Hamid Hasan berkata, pemilihan empat atlet dibuat berdasarkan prestasi semasa serta potensi peningkatan ranking dunia, sekali gus mencerminkan komitmen badan induk itu melaksanakan pelaburan awal sebelum proses kelayakan bermula.

“Projek ASIAKOM pada asalnya disasarkan untuk Sukan Asia, namun kita rancang ia bergerak seiring hingga ke Olimpik. Compound dijangka dipertandingkan dalam acara berpasukan campuran dan hanya satu pingat emas ditawarkan,” katanya yang ditemui pemberita di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Empat atlet elit yang terpilih ialah Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli, Muhammad Syafiq Busthamim dan Aiman Syafiq Tariki.

Menurut Hamid, keempat-empat atlet tersebut bukan sahaja menerima peningkatan elaun, malah diberi keutamaan menyertai kejohanan dalam dan luar negara sebagai sebahagian pendedahan kompetitif berterusan.

“Bagi program ASIAKOM, kita tingkatkan elaun pada kadar tertentu dan memberi keutamaan kepada mereka untuk menyertai kejohanan dalam serta luar negara sehingga sasaran projek ini dicapai,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan Malaysia kini berada pada kedudukan kompetitif di peringkat dunia dengan ranking ke-16 acara berpasukan campuran, namun laluan ke Olimpik kekal mencabar memandangkan hanya satu emas dipertandingkan.

Selain skuad lelaki tersebut, pemilihan atlet wanita untuk digandingkan dalam acara berpasukan campuran akan dibuat selepas Sukan Asia atau Sukan SEA 2027 bagi memastikan kombinasi terbaik dapat dibentuk menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN