PETALING JAYA – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dilaporkan mengalami gangguan sekali lagi pagi ini sehingga mencetuskan kesesakan luar biasa di kebanyakan stesen.
Tinjauan di media sosial mendapati, orang ramai terpaksa bersesak di platform Sri Rampai, Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC dan beberapa lagi stesen lain.
Lebih teruk lagi, tular satu gambar memaparkan salah seorang penumpang pitam dipercayai kerana panas bersesak-sesak terlalu lama menunggu tren.
Insiden itu membuatkan pengguna LRT berasa marah kerana alasan gangguan teknikal selama dua hari berturut-turut disifatkan tidak munasabah.
Isu itu juga menimbulkan persoalan terhadap tahap penyelenggaraan dan kecekapan pengurusan perkhidmatan pengangkutan awam tersebut.
“Dua hari berturut-turut? Kelakar betul lah Rapid KL. Dalam enam bulan ni sahaja dah berapa kali kata gangguan teknikal? Tak tahu nak marah ke apa sebab dah macam kejar KPI pula setiap hari nak rosak,” komen AlifAznee.
“Aku keluar rumah pukul 5.50 tau sebab nak naik LRT awal pagi sebab kelas pukul 8.30 pagi. Tapi apa yang aku dapat, sekarang masih tersekat kat sini,” komen Szznea.
“RapidKl atau Prasarana, tolonglah lah semalam dah lambat masuk pejabat, takkan hari ni pun nak lambat lagi? Saya dah terpacak dekat LRT sejak 7.45 pagi tau. Sekarang pukul 8.23 pagi masih di stesen Kelana Jaya,” komen Danisams.
“Tak tahu nak cakap macam mana. Kau berusaha bangun awal, keluar rumah awal, hantar anak sekolah awal, kau berlari kejar masa. Sampai KL Sentral sebelum pukul 8 pagi. Sampai-sampai ya Allah LRT tersekat, penuh manusia. Usaha kau pagi-pagi tadi tu hilang. Sebab kau sampai tempat kerja tetap lambat,” komen Ziela.
“Aku dah cakap dulu, dan kali ni jadi lagi gila sebab waktu pagi waktu puncak,” komen Amrii.
Sementara itu, tinjauan di ruangan komen Facebook Rapid KL mendapati rata-rata pengguna pengangkutan awam meluahkan rasa tidak puas hati dan membanjiri platform tersebut dengan kritikan pedas susulan gangguan yang berlaku.
Rapid KL berkata, perkhidmatan tren mengalami kelewatan di antara Stesen Asia Jaya dan Taman Bahagia berikutan sebuah tren dipandu secara manual.
Setakat ini katanya, tren yang dikendalikan secara manual telah dikeluarkan daripada perkhidmatan dan jadual perjalanan sedang diselaraskan dan perkhidmatan tren telah kembali beroperasi seperti biasa.
“Sila ambil perhatian bahawa perkhidmatan telah pulih, namun sedikit masa diperlukan untuk menguruskan kesesakan penumpang.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan berterima kasih atas kesabaran anda,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














