MELAKA – Seorang peniaga kuih tepung pelita di One Krubong di sini menyediakan lebih 1,000 hadiah sepanjang Ramadan menerusi promosi ‘gores dan menang’ sebagai tarikan kepada pelanggan.
Peniaga, Azlina Abdullah, 49, berkata, inisiatif tersebut dilakukan sebagai tanda penghargaan, selain mewujudkan rasa seronok dalam kalangan pelanggan yang membeli tiga pek kuih tepung pelita berharga RM20.
Menurutnya, kira-kira 50 hadiah disediakan setiap hari dan lazimnya kesemuanya habis diberikan sepanjang tempoh perniagaan dari pukul 3 petang hingga 6.30 petang.
“Antara hadiahnya ialah bekas makanan, bekas sudu dan botol minuman. Aktiviti gores dan menang ini hanyalah pulangan kecil kepada pelanggan, sekadar suka-suka untuk menggembirakan mereka.
“Idea ini tercetus selepas saya melihat jenama-jenama besar pakaian mengadakan promosi sama, jadi saya pun cuba melakukannya,” katanya ketika ditemui di gerai Inn Tepung Pelita di sini, semalam.
Mengulas lanjut Azlina berkata, kuih tersebut dihasilkan oleh rakannya di Nilai, Negeri Sembilan dan bekalan itu akan diambil setiap hari.
“Setiap hari saya berulang-alik ke Nilai untuk mengambil 2,016 biji atau 28 dulang tepung pelita sebelum dipek untuk jualan,” ujarnya.
Sementara itu seorang pelanggan, Husna Mastura Halmi, 37, berkata, dia sering membeli kuih Inn Tepung Pelita yang turut dijual di luar bulan Ramadan kerana rasanya yang sedap.
“Saya berasal dari Taiping, Perak dan bagi saya tepung pelita ini mempunyai rasa seperti kuih di kampung halaman.
“Namun Ramadan ini saya terkejut juga apabila ada promosi gores dan menang, memang sesuatu yang buat saya gembira,” katanya yang mendapat hadiah botol minuman. – KOSMO! ONLINE














