JAKARTA – Jakarta akan mengeksport 2,280 tan beras ke Arab Saudi untuk menampung keperluan jemaah haji Indonesia dengan nilai keseluruhan penghantaran mencecah 150 bilion rupiah (RM34.7 juta), lapor laman berita Jakarta Globe.
Eksport tersebut akan diuruskan Badan Urusan Logistik, Perum Bulog dalam dua fasa bagi menjamin keselamatan logistik dan memastikan ketersediaan rizab sekiranya berlaku gangguan semasa transit.
Penghantaran pertama dijadualkan dilakukan menjelang 28 Februari ini, menandakan eksport beras haji nasional pertama Indonesia. Kapal penghantaran akan belayar dari Pelabuhan Tanjung Priok menuju Pelabuhan Jeddah di Arab Saudi.
Pengarah Perum Bulog, Ahmad Rizal Ramdhani berkata, bekalan beras yang diluluskan untuk musim haji tahun ini adalah seberat 2,280 tan.
“Penghantaran pertama akan belayar menjelang 28 Februari ini, manakala yang kedua berlaku pada 4 Mac,” kata Ahmad selepas menghadiri mesyuarat di Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Makanan di Jakarta semalam.
Musim haji 2026 dijangka melibatkan seramai 205,420 jemaah dan pegawai dari Indonesia, demikian menurut laman web rasmi Kementerian Haji dan Umrah.
Ibadah haji tersebut memerlukan kira-kira 3,911 tan beras untuk diedarkan kepada 75 pengusaha katering di kota suci Mekah dan Madinah. Penerbangan pertama jemaah haji Indonesia dijangka berlepas pada 23 April ini.
Ketua Pengarah Pembangunan Ekosistem Ekonomi Haji dan Umrah (PE2HU), Jaenal Effendi berkata, inisiatif itu bagi mengurangkan kebergantungan Indonesia kepada bekalan beras yang diperolehi melalui negara jiran seperti Vietnam dan Thailand.
Penghantaran beras dari Indonesia ke Arab Saudi dijangka mengambil masa antara lima hingga enam minggu berdasarkan koordinasi dengan penyedia logistik. – AGENSI














