fbpx
ZAMRI (kanan) bersama isteri, Salina (tengah) dan anak-anak memegang replika kunci di hadapan rumah baharunya di Kampung Bukit Banding, Hulu Terengganu semalam.

Akhirnya dapat berpuasa di rumah sendiri lepas 18 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU TERENGGANU – Ramadan tahun ini dianggap pa­ling bermakna buat Zamri Chik sekeluarga apabila akhirnya mereka dapat menduduki kediaman sendiri.

Rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu amat bererti buat Zamri, 53, dan isterinya, Salina Fauzi, 35, serta empat anak mereka yang berusia dua hingga 18 tahun selepas menyewa selama hampir dua dekad.

“Sejak berkahwin 18 tahun lalu, kami menyewa rumah de­ngan kadar RM230 sebulan.

“Memang sudah lama saya mengimpikan untuk memiliki kediaman sendiri yang selesa buat isteri dan anak-anak, namun apakan daya pendapatan sebagai tukang kebun sekolah tidak mengizinkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Banding di sini semalam.

Terdahulu, Zamri menerima replika kunci sebagai simbolik penyerahan rumah PPRT daripada Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Rozi Mamat.

Zamri berkata, dia bersyukur kerana permohonannya untuk membina rumah PPRT atas ta­nah pusaka keluarganya diluluskan oleh Ketengah.

Katanya, mereka berpindah masuk ke rumah itu selepas urusan pemasangan bekalan elektrik dan air bersih selesai pada awal Ramadan baru-baru ini.

“Alhamdulillah kami dapat berpuasa dan insya-Allah me­nyambut hari Raya Aidilfitri di rumah sendiri buat pertama kali pada tahun ini.

“Terima kasih kepada Kete­ngah dan kerajaan kerana membantu kami mencapai impian untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.

Sementara itu, Rozi membe­ritahu, kediaman Zamri dibina menerusi projek PPRT di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Rumah itu mempunyai tiga bilik dan dibina dengan peruntukan sebanyak RM66,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN