PETALING JAYA – Pengunjung bazar Ramadan meluahkan rasa kecewa terhadap kualiti makanan yang dijual di tempat jualan pada bulan mulia itu.
Mereka mendakwa ada makanan yang dibeli telah basi, berulat dan tidak menepati cita rasa selain dijual dengan harga mahal.
Bazar Ramadan sentiasa menjadi tumpuhan ratusan ribu umat Islam yang menjadikan lokasi berkenaan tempat mendapatkan makanan untuk berbuka.
Populariti bazar Ramadan mendorong ramai peniaga untuk memulakan perniagaan kerana keuntungan yang besar.
Lebih mengejutkan apabila ‘pengkhianatan’ terhadap pembeli itu dikesan seawal hari kedua Ramadan hingga menyebabkan pengguna tidak dapat menikmati makanan kegemaran dan terpaksa membuangnya ke dalam tong sampah.
Tinjauan di media sosial mendapati, ramai yang meluahkan Tinjauan di media sosial mendapati, ramai yang meluahkan berdepan masalah sama apabila terbeli makanan yang cantik di luar, namun buruk di dalam seperti mentah, tawar tiada rasa, berbau masam seolah-olah makanan lama, isi kurang tidak setanding harga dan sebagainya.
Keadaan itu seakan mengiyakan kemungkinan ada dalam kalangan peniaga itu baru pertama kali berniaga dan tidak pernah menyelidik juadah mereka sebelum menjualnya.
Pengguna Thread, Zaimah Taib kesal apabila kuih popia sira dibeli di Bandar Baru Bangi berintikan kentang goreng dan bukannya sayur seperti kebiasaan.
“Hari pertama makanan bazar Ramadan, siapa dah kena scam? Contoh, popia sira inti kentang goreng. Sedih, dah lah suka popia sira, alih-alih dapat kentang goreng. Saya sendiri beli, sendiri makan, dah habis dah masuk perut. Mujur sira dan kulit popia sedap. Sayang inti letak kentang goreng,” katanya.
Natasyaazaini pula mendakwa, dia membeli menu roti john daging, namun tiada daging di dalam makanan tersebut.
“Roti john daging, tapi dapat roti john tak ada daging. Ada telur dengan sayur sahaja,” katanya yang memaklumkan lokasi bazar tersebut di Bangi.
Nurulaqeella berkongsi video mengenai martabak dibeli di sebuah bazar Ramadan di Selayang yang didakwa berbau masam, berminyak selain ada bahagian masih mentah.
Shareeeeeeesaf berkongsi cucur udang dibelinya di bazar Ramadan di Kelana Jaya juga tidak masak.
Sementara Syahiraaroslan berkongsi gambar roti john ayam mini dibeli di bazar Ramadan di Johor Bahru yang hanya mempunyai ayam bersaiz sangat kecil di dalamnya.
Matunhazel Mhz memaklumkan, dia membeli ayam rangka di satu bazar Ramadan, namun telah berbau masam seolah-olah makanan itu sudah lama.
Di Melaka, Mohd. Fairuz Salehan, 41, memberitahu, dia terbeli tau fu fa yang telah basi ketika berada di kampung isterinya di Jengka, Pahang kelmarin.
“Nasib baik saya rasa dulu, kalau tidak tentu anak lelaki saya yang gemarkan makanan itu sakit perut,” katanya.
Pekerja swasta, Norhaizun, 28, memberitahu, anaknya tidak habis makan laksa berharga RM8 yang dibeli di sebuah bazar Melaka Tengah.
“Rasa kuah macam tak cukup bahan. Peniaga seperti tidak mahir,” katanya.
Di Shah Alam, pelanggan kecewa apabila terbeli makanan berkuah atau berlauk dan kuih-muih seperti nasi kerabu, popiah, laksa serta bubur lambuk yang basi dan berbau.
Iffan Hamdan, 37, berkata, bubur lambuk dan popiah dibeli di sebuah bazar Ramadan berbau dan basi menjelang berbuka.
“Popiah sukar dikunyah sekali gus membantutkan niat kami untuk berbuka,” katanya.
Nur Syafura Mohamad, 43, berkata, dia terbeli nasi kerabu dan laksa basi.
“Bila nak panaskan kuah ia berbuih dan berbau. Nasi kerabu juga sama dan dua juadah itu terpaksa dibuang,” katanya.
Di Kuala Terengganu, Norhaslina Musa, 43, kecewa kuih onde-onde yang dibeli basi dan berbau ketika hendak berbuka.
“Tak sangka sudah basi. Nasib baik anak bongsu saya yang berusia lima tahun tidak sempat memakannya,” katanya.
Norhaslina pula berkata, walaupun sudah berharga RM2.50 sebungkus, dia tetap terkilan sikap segelintir peniaga bazar Ramadan yang masih acuh tidak acuh dalam penyediaan makanan jualan.














