fbpx
KEADAAN sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling di George Town yang masih lengang daripada gelandangan ketika tinjauan Kosmo! Ahad awal pagi semalam.

Merajuk sampai jadi gelandangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Masalah keluarga selain rasa dipinggirkan menjadi punca seorang lelaki dari Selangor memilih untuk membawa diri ke Pulau Pinang, sekali gus menjadikan kaki lima dan bahu jalan sebagai ‘rumah’ dan tempat mengemis.

Pemuda yang mahu dikenali sebagai Kamal, 29, itu mendakwa, tindakannya untuk berjauhan dengan keluarga buat pertama kali adalah disebabkan terlalu berkecil hati atas layanan yang diberikan oleh keluarga terhadapnya.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, kehidupannya berubah dengan sekelip mata selepas kematian ibu tercinta akibat kanser pada tahun 2010, ketika usianya baru menjangkau 13 tahun.

“Saya tidak minta dan tak malu pun mengemis dengan duduk di kaki lima stesen bas di Komtar serta tidur beralaskan kain tuala. Saya bukan gila tapi apa yang saya lakukan semua ini bersebab.

“Saya terlalu merajuk hati dengan ayah dan ibu tiri. Mereka tidak memahami saya dan di­sebabkan itu saya keluar rumah dan datang ke sini. Ini kali pertama saya tinggalkan mereka dalam tempoh lama iaitu sejak November lalu dan ini adalah Ramadan pertama saya berbuka tanpa keluarga.

“Saya tahu mereka sedang mencari saya ketika ini. Tapi, biarlah­ saya tenangkan fikiran dahulu atau mungkin saya terus bawa diri walau dipujuk,” kata­nya ketika ditemui baru-baru ini.

Menceritakan kisahnya, kehidupan Kamal sedikit terurus apabila dia dibawa ke Pusat Transit Harapan dalam satu operasi gelandangan yang dijalankan pihak berkuasa baru-baru ini.

“Setiap hari, saya akan keluar mengemis di sekitar Komtar dari pukul 7 atau 9 pagi hingga ke pukul 12 tengah malam atau paling awal akan pulang ke sini (Pusat Transit Harapan) sebelum maghrib.

“Kadang-kadang saya dapatlah RM20 atau RM30 sehari. Duit ini saya akan belanja untuk beli makan minum atau apa-apa barang yang perlu. Tempat ini pun ramai yang sumbang makanan.

“Saya nekad simpan duit hasil derma orang ramai di sepanjang bulan Ramadan ini. Wang yang dapat itu mungkin cukup untuk saya sewa bilik dan cari kerja di Selangor. Saya memang tidak akan duduk selamanya di sini,” ujarnya yang telah menamatkan pengajian sehingga ke Tingkatan Enam.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan gelandangan tempatan dan warga asing dikatakan sanggup ‘berumah’ di Pulau Pinang ketika bulan Ramadan memandangkan negeri ini popular sebagai lokasi tumpuan pelancong selain rakyatnya yang begitu pemurah.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim mendedahkan perkara tersebut dan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Pulau Pinang merupakan negeri pilihan bagi kumpulan gelandangan pada setiap tahun terutama menjelang bulan Ramadan.

Katanya, antara lokasi hot spot gelandangan adalah di bawah Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Jalan Penang dan Jalan Masjid Kapitan Keling.

Terdahulu, tinjauan Kosmo! Ahad di sekitar Jalan Kapitan Keling sekitar pukul 1 pagi semalam mendapati tiada kelibat kumpulan gelandangan duduk di kaki lima jalan dan difahamkan, kehadiran mereka akan kelihatan pada atau selepas minggu pertama Ramadan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN