PETALING JAYA – Perlu bersungguh dalam mengejar pahala, pelakon Nora Danish berkongsi nasihat bermakna yang sering diulang rakan selebritinya, Neelofa, mengenai amalan doa harian sebagai bekalan menuju kehidupan abadi.
Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 44, berkata pesanan tersebut bukan hanya kata-kata biasa, sebaliknya peringatan lembut agar sentiasa meletakkan syurga sebagai matlamat tertinggi selain terus istiqamah memperbaiki diri.
“Hajjah Neelofa selalu berpesan supaya jangan lupa berdoa untuk masuk ke syurga Allah.
“Masya-Allah, pesanan itu sangat menyentuh hati. Kita bukan hanya minta masuk syurga, tetapi mohon agar dapat memasuki mana-mana daripada lapan pintunya.
“Antara jalannya melalui sedekah, puasa, berbakti kepada ibu bapa, menunaikan haji, menahan marah, menjaga solat, berzikir dan berjihad di jalan Allah,” kongsinya dalam Threads.
Tambah bintang filem Sayu Yang Syukur itu, doa tersebut perlu disertai keyakinan serta sangkaan baik terhadap Tuhan agar setiap amalan terasa hidup dan bermakna.
“Jom kita sama-sama berdoa dengan penuh yakin. Sentiasa bersangka baik dengan Allah.
“Semoga Allah mempermudahkan jalan kita untuk terus istiqamah dan akhirnya dikurniakan Syurga Firdaus,” ujarnya.
Perkongsian tersebut pantas mencuri perhatian netizen, malah ruangan komen dihujani reaksi positif daripada pengikut yang tersentuh dengan peringatan berunsur keagamaan itu.
Rata-rata netizen meluahkan rasa syukur serta berterima kasih kerana mengingatkan tentang tujuan sebenar kehidupan, selain mendoakan Nora terus istiqamah.
“Ya Allah terima kasih juga berkongsi, ini secara tidak langsung peringatan untuk saya juga,” komen netizen.
“Bagusnya kalian saling mengingati, semoga terus istiqamah dan tidak pernah penat mengejar reda Allah,” tulis pengguna media sosial
Tidak kurang juga yang mengakui kata-kata tersebut hadir tepat pada waktunya sebagai motivasi rohani di bulan Ramadan. – KOSMO! ONLINE














