JAKARTA – Selepas tiga tahun, kumpulan muzik ternama Indonesia Dewa 19 bakal mengubati kerinduan peminat di negara ini apabila kembali mengadakan konsert yang diberi nama Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia pada 6 Jun depan di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Kumpulan yang diketuai Ahmad Dhani bersama anggota lain seperti Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha teruja untuk ‘pulang’ ke Malaysia yang sudah dianggap seperti rumah kedua.
“Kenal Iman Tang (penganjur) sudah 20 tahun. Dia terawal yang bawa masuk Dewa 19 bikin konsert di Malaysia.
“Iman boleh disifatkan member (sahabat) Dewa 19. Sekitar tahun 2004 atau 2005 kami mula bekerjasama,” kata Ahmad Dhani pada sidang media konsert terbabit di restoran miliknya, Dewa 19 JavaRock Restography di Kemang, Jakarta Selatan di sini hari ini.
Dianjurkan Icon Entertainment, pengasasnya, Iman Tang berkata, sinergi antaranya dengan Dewa 19 sentiasa mewangi tahun demi tahun.
“Banyak cerita Dewa 19. Saya masih ingat masa pertama kali buat konsert di Malaysia, Al Ghazali (anak Ahmad Dhani) usianya 5 tahun — main kereta remote control di belakang pentas. Sekarang Al sudah nak jadi bapa orang,” kata Iman.
Konsert berkenaan bakal menampilkan tiga vokalis utama Dewa 19 di satu pentas yang sama iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe atau Ello, bersama pemain dram Tyo Nugros.
Lebih istimewa, buat julung kalinya di Malaysia, band Padi Reborn akan berkongsi pentas sebagai artis jemputan khas.
“Ini kali pertama di Malaysia kami berjaya menyatukan dua band gergasi Indonesia di atas satu pentas.
“Kami bangga mengumumkan Dewa 19 akan ditemani sahabat seperjuangan mereka, Padi Reborn. Konsert ini bakal menjadi pertemuan bermakna antara Baladewa dan Sobat Padi,” katanya.
Menurut Iman Tang, konsep konsert tidak bersifat ekstravaganza, sebaliknya lebih sederhana dan fokus kepada kekuatan lagu serta karisma kedua-dua band.
“Konsepnya jelas, dipenuhi cinta yang dihadirkan menerusi untaian hit Dewa 19 dan Padi Reborn.
“Kedua-dua band sudah mempunyai karisma dan pesona tersendiri untuk menarik peminat hadir menikmati persembahan,” katanya.
Kali terakhir Dewa 19 mengadakan persembahan di Malaysia adalah pada tahun 2023 menerusi Dewa 19: A Night At The Orchestra – Chapter 5.
Menariknya, tema pakaian bagi konsert ini cukup santai iaitu peminat digalakkan mengenakan kemeja-T band original sebagai tanda sokongan kepada idola masing-masing.
Tiket berharga RM236 (Atas Nama Cinta), RM288 (Bala Sobat), RM388 (Pangeran Cinta), RM428 (Laskar Cinta), RM488 (Sedang Ingin Bercinta) boleh didapati bermula 27 Februari ini menerusi laman sesawang https://www.ticket2u.com.my/Dewa19. – KOSMO! ONLINE














