GEORGE TOWN – Keluarga anggota tentera, mendiang Truper K. Indiran, 22, yang dilaporkan meninggal dunia selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Pahang, Jumaat lalu meminta orang ramai menghentikan spekulasi tentang kematian anak mereka.
Ibunya, S. Usha, 52, berkata, dia menolak segala andaian yang mengaitkan kematian anaknya itu akibat dibuli atau penderaan hingga mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sebaliknya kata Usha, hasil bedah siasat yang dijalankan semalam mendapati tiada bentuk kecederaan fizikal yang dialami anak sulung daripada empat beradik itu.
“Saya dapat info, viral sana, viral di TikTok semua tu, saya nak cakap kat sini, memang dalam angkatan tentera tiada siapa yang buli dia (Indiran), tiada siapa pukul dia, tiada apa kecederaan. Ini bukan kes buli.
“Jangan cemarkan nama ATM, sebab benda tu memang tak betul dan jangan buat spekulasi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Nibong, awal pagi tadi.
Bagaimanapun jelasnya, siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian Indiran yang dijangka akan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan.
Mengulas lanjut katanya, dia kini masih trauma mengenangkan perkara berlaku memandangkan ini tragedi kali kedua menimpa dirinya selepas suamiya, Mejar C. Kayamboo yang merupakan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft B200T di Pangkalan Udara Butterworth, 10 tahun lalu.
“Sudah dua kali benda ni jadi dalam hidup saya. Trauma tu memang ada,” katanya tidak sesekali menghalang sekiranya anaknya yang lain mahu menyertai pasukan beruniform kelak.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi pekarangan rumah keluarga itu sebaik van jenazah ATM membawa jasad Indiran tiba pada 1.45 pagi tadi. Mendiang akan dikebumikan bersebelahan pusara bapanya di Tanah Perkuburan India Batu Lanchang kira-kira 2 petang ini.
Pada 18 Februari lalu, Indiran yang sedang mengikuti kursus krew Armor di Kem Batu 10, Kuantan ditemukan tidak sedarkan diri oleh rakanya sebelum dikejarkan ke HTAA. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.-KOSMO! ONLINE














