JOHOR BAHRU – Polis sedang mengenal pasti individu yang disyaki menjual bunga api dalam kejadian letupan di Taman Damai Jaya, Bukit Siput, Segamat Selasa lalu sehingga menyebabkan seorang lelaki cedera parah.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, keterangan daripada individu berkenaan adalah penting bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Berdasarkan siasatan awal, bunga api tersebut dipercayai dibeli secara tidak sah dan tidak termasuk dalam senarai bahan letupan yang dibenarkan.
“Susulan itu, polis kini sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian ini termasuk dari mana mangsa membeli serta mengesan individu yang menjual bunga api tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Pada majlis itu, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu manakala Senior Asisten Komisioner Mohd Zairi Badderul@Badrol sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor.

Ab Rahaman berkata, berdasarkan peraturan semasa, hanya 45 jenis mercun dan bunga api dibenarkan untuk pemilikan dan penjualan tertakluk kepada syarat serta lesen yang sah.
Tegasnya, mana-mana individu yang memiliki atau menggunakan bahan letupan yang tidak tersenarai boleh dikenakan tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah.
“Jika dapat kesan, peniaga yang ada lesen jual mercun dan bunga api tetapi mereka jual bahan letupan yang tidak dibenarkan, lesen akan dibatalkan serta merta,”katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Polis Johor akan terus mempergiat operasi pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis penyimpanan serta penjualan bunga api bagi memastikan pematuhan undang-undang.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam, 17 Februari lalu, seorang lelaki berusia 32 tahhn putus kaki kiri apabila terkena letupan bunga api yang dipasangnya dalam kejadian di Taman Damai Jaya, Bukit Siput, Segamat ketika meraikan sambutan Tahun Baharu Cina. – KOSMO! ONLINE














