LIVERPOOL – Pemain tengah Liverpool, Curtis Jones menganggap mereka sudah kembali mendapatkan rentak sebenar pada separuh musim kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat tiga kemenangan dalam lima aksi terakhir.
The Reds terus mengintai peluang untuk memperbaiki kedudukan dan memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan menjelang aksi menentang Nottingham Forest di City Ground hujung minggu ini.
Jones berkata, pemain-pemain Liverpool sudah mula menunjukkan keserasian, terutamanya barisan muka baharu yang memerlukan sedikit masa bagi menyesuaikan diri dengan intensiti EPL.
“Saya fikir pasukan ini sudah mula serasi dan selesa bermain sebagai satu pasukan. Memang diakui musim ini tidak seperti yang diharapkan, tetapi itulah adat pertandingan, anda tidak selalu menang.
“Apa yang penting sekarang adalah pasukan menunjukkan peningkatan walaupun ia memakan masa. Kita semua harus sedar ada pemain yang baru masuk dan ada juga meninggalkan pasukan,” katanya.
Sementara itu, dia juga kekal positif dengan peluang mereka untuk memenangi trofi pada saingan musim ini memandangkan Liverpool masih lagi menggalas cabaran dalam Liga Juara-Juara dan Piala FA.
“Saya mahu menang semua pertandingan yang kami masuk. Apa yang jelas, kami masih bersaing dalam Liga Juara-Juara dan Piala FA, jadi semua pemain perlu kekal fokus dan bermain satu demi satu perlawanan,” ujar Jones. – AGENSI














