IKAN pemangsa nombor satu negara kita, ikan toman boleh ditemui di pelbagai perairan baik di air tawar mahupun di air payau.
Spesies ikan bak kepala ular ini (snakehead) boleh mendiami kawasan berarus laju seperti di sungai-sungai pergunungan (mountain river) dan perairan yang statik seperti di kolam, lombong dan tasik.
Ikan ini selalunya menjadikan kawasan bereba, tidak kiralah ia struktur berbatu, berkayu atau tumbuhan akuatik berupa samai, keladi bunting atau teratai sebagai tempat ia berlindung dan bersembunyi sebelum menyergap mangsanya.
‘Permaidani’ teratai
Dalam banyak perairan yang bereba, hamparan teratai merupakan salah satu kawasan yang paling sukar untuk menggoda toman dengan gewang dan menaikkannya.
Ini berikutan daun-daun teratai yang lebar melata di permukaan air memerlukan satu jenis gewang yang kalis sangkut untuk memainkan ia di atas tumbuhan tersebut.
Gaya permainan gewang itu juga perlu ada cara tersendiri supaya kehadirannya di atas teratai dapat meningkatkan nafsu amarah ikan toman di bawah tumbuhan terapung itu untuk naik menghampiri dan menyiasat sekali gus menerkamnya.
Itu baru bahagian untuk menggoda toman, belum lagi bagaimana hendak buat supaya setiap terkaman ikan terhadap gewang boleh kena solid hook-up. Ia memerlukan masa (timing) yang tepat.
Terlalu cepat sembat joran, ikan tidak kena mata kail di gewang, terlalu lambat sembat pula, ikan menelan terus keseluruhan gewang dan giginya yang tajam pasti mudah memutuskan perambut dengan sekali henjut sahaja.
Apabila dapat hook-up toman, satu perkara lain perlu diberi perhatian, iaitu bagaimana hendak bertarung dan menaikkan ikan.
Pendek kata game heavy cover untuk toman seperti ini sememangnya sukar dan memerlukan lebih ‘teknikal’ daripada ‘nasib’ bagi mendaratkannya.
Jarak setahun
Hampir setahun berlalu saya mendapat jemputan sekali lagi daripada tekong Akmal Bachok yang menjalankan perkhidmatan sewa bot di bekas lombong pasir Olak Lempit di dalam daerah Bukit Changgang, Banting Selangor.

Saya yang kesibukan memancing ke sana sini, betul-betul terlupa untuk membalas ‘dendam’ kesumat pada trip yang lalu. Perairan yang dipenuhi teratai ini sememangnya saya langsung tidak pandai menanganinya. Kali ini saya turun bersama sahabat lama yang kaki mengilat toman, Johari Jamil.
Saya juga sudah bersedia dengan satu set mengilat khusus untuk kawasan ‘heavy cover’ sebegini iaitu joran panjang tujuh kaki berkekuatan 15-30 paun (lb)
Ia dipadankan dengan kekili menegak saiz 40 yang diisi tali sulam 40lb dan bersambung dengan perambut sekuat 50lb.
Gewang yang saya gunakan ialah soft plastic (SP) saiz besar antara 15 hingga 19 sentimeter (sm) jenis split tail tail yang disematkan pada worm hook antara saiz 7/0 hingga 9/0.
Selain itu, saya juga menggunakan gewang katak getah dan kayu saiz besar sebagai alternatif kepada SP tadi,
Pagi hari lagi kami sudah sampai ke jeti di pinggir lombong. Akmal sudahpun bersedia dengan botnya. Tanpa berlengah kami bergegas ke lokasi pertama berupa ‘padang’ teratai yang padat.
Bot bukan lagi dipacu, sebaliknya lebih tepat saya katakan ‘menerjah’ permaidani teratai seumpama kapal di Kutub Utara bergerak di air dengan memecahkan ais menggunakan haluannya.
Melepasi hamparan teratai barulah kami dapat masuk ke kawasan terbuka seolah-olah kolam-kolam kecil. Di kawasan yang terbuka kami gunakan gewang permukaan den-
gan mata tiga seperti propeller dan pencil.

Sementara itu, di kawasan tumbuhan air yang melata pula kami gunakan gewang kalis sangkut (weedless) berupa SP, soft frog dan wooden frog.
Tiada langsung riak air menandakan ikan naik ke permukaan air mengambil nafas selazimnya dilakukan oleh ikan-ikan spesies snakehead, tetapi itu adalah perkara normal di lombong Olak Lempit ini mengikut kata Akmal.
Biasanya gewang akan terus diterkam ikan tanpa disedari, sebab itulah pemancing harus sentiasa berwaspada dan bersedia dalam setiap lontaran dan karauan gewang.
Biarpun keadaan air cukup cantik, namun tiada ikan yang sudi dengan gewang-gewang yang kami suakan. Lantas Akmal masuk ke kawasan yang lebih dalam lagi hingga kami menemui satu alur seperti tali air.
Di sini juga tiada sambaran yang betul-betul kena pada gewang, hanyalah beberapa miss call.
Hari semakin panas terik dan kami membuat keputusan untuk keluar dari kawasan tersebut dan pergi ke lokasi yang teratainya tidak padat.
Ia berupa kawasan teratai yang hanya empat hingga enam meter melata dari tebing dengan banyak kawasan berlubang-lubang kecil antaranya.
Di sini lebih mudah untuk mengena toman ujar tekong, namun sama seperti waktu pagi tadi tiada sambaran yang kami dapat walau-
pun sudah sabar menyasarkan dua kumpulan anak-anak toman yang ibunya buat tidak tahu langsung terhadap gewang-gewang yang dimainkan kepadanya.
Hari semakin panas dan angin juga semakin kuat bertiup, kami menamatkan sementara trip untuk berehat di jeti.
Sesi kedua
Apabila suasana sudah redup barulah kami keluar semula. Kali ini satu lagi kawasan hamparan teratai yang lebih ‘banat’ kami cuba, namun angin yang kuat tengah hari tadi masih belum reda.
Menurut kata tekong adalah perkara yang sia-sia memainkan gewang di atas teratai pada masa tersebut kerana ikan tidak dapat membezakan daun teratai yang berkuak itu akibat angin atau pun gewang.
Ini kerana faktor penting untuk menggoda ikan toman di hamparan teratai ialah pergerakan gewang di atasnya mimik sesuatu benda hidup yang merupakan makanan ikan toman yang sedang bergerak di atasnya seperti katak, burung atau ikan, barulah ia mahu datang menyambar.
Alternatif terakhir
Lewat petang itu Akmal membawa kami ke kawasan berhampiran sangkar ikan. “Last change” katanya.
Target kami ialah toman-toman bujang yang menimbul di sekitar.
Nasib baik angin telahpun reda dan permukaan air menjadi lenang, jadi kami senang meninjau kedudukan toman-toman ini menimbul.
Saya menggunakan gewang propeller, manakala Johari dan Akmal menggunakan gewang pencil Tomania Crazy Slider.
Ternyata gewang pencil yang mereka gunakan lebih efektif berbanding gewang propeller saya dengan naiknya beberapa ekor toman bujang.
Hari semakin senja dan kami terpaksa menamatkan trip dengan saya masih lagi tertinggal ‘dendam kesumat’ yang masih belum terlunas.














