ALOR SETAR – Segelintir peniaga didapati masih gagal meletakkan tanda harga pada barangan jualan, sekali gus menyukarkan pengguna membuat pilihan selain membuka ruang kepada manipulasi harga.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, tindakan itu secara jelas melanggar peraturan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), terutama pada musim perayaan.
“Cake berasa kesal kerana hari ini kita melakukan tinjauan di pasar dan lokasi lain namun mendapati banyak peniaga tidak meletakkan tanda harga menyebabkan pengguna dikenakan caj berbeza-beza dan menimbulkan rasa tidak senang.
“Saya pernah mencadangkan agar penguat kuasa datang tanpa beruniform (penyamaran) supaya dapat gambaran sebenar tentang perkara ini. Apapun, kita mengharapkan kesedaran daripada peniaga,” katanya selepas melakukan tinjauan harga sempena Ramadan di Pasar Besar Alor Setar, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar agensi berkaitan meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang ingkar.
“KPDN diharapkan lebih kerap melakukan pemeriksaan, terutama ketika orang ramai ke pasar untuk membeli barangan sebagai persediaan Ramadan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














