PETALING JAYA – Orang ramai kagum dengan sambutan Tahun Baharu Cina diiringi kemeriahan bunyi mercun bertalu-talu lebih tiga jam sehingga awal pagi tadi, sekali gus sudah tentu hanya golongan berada yang mampu mengeluarkan perbelanjaan besar sedemikian.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Thread Ansfdlh yang memuat naik video berdekatan kediamannya, dia memberitahu dentuman mercun itu bermula sejak pukul 11.30 malam tadi.
“Bukit Baru (di Melaka) malam tadi, dari 11.30 malam sampai 3 pagi mercun dia. Kaya betul bakar mercun sebanyak itu,” katanya pada hantaran berkenaan.
Ia turut mendapat maklum balas seorang pengguna Thread yang memberitahu, kebanyakan bermain mercun sebegitu adalah golongan kaya.
Sementara itu di TikTok pula, seorang pengguna dikenali sebagai MizDeeJay turut bersama-sama menikmati bunyi dentuman mercun dari tingkat apartmennya di Pulau Pinang.
“Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang, pemandangan dari tingkap kami,” menurutnya pada kapsyen video yang dikongsikan.
Seorang lagi pengguna TikTok Eve turut memuat naik kemeriahan dentuman mercun seolah-olah ‘berlawan’ antara satu sama lain di sekitar Kuching, Sarawak malam tadi.
“Saya betul-betul meremang tengok ni, tapi dalam masa sama saya suka. Memang hanya di Kuching macam ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














