RAWANG – Seorang pemandu lori cedera selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer (KM) 441 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke selatan, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.52 pagi.
Menurut beliau, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bersama 14 anggota dikerahkan ke lokasi dan tiba pada pukul 9.09 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori kontena dan sebuah lori lima tan.
“Terdapat seorang lelaki berusia 33 tahun tersepit di bahagian pemandu lori lima tan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














