PETALING JAYA – Aliran trafik dilaporkan sesak menuju ke Kuala Lumpur susulan pertambahan jumlah kenderaan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), hari ini.
Menurut makluman Lembaga Lebuhraya Pantai Timur, kesesakan arah timur dikesan sebelum Terowong Gombak, melibatkan laluan sepanjang 6.7 kilometer (km) dari Kilometer 29.3 hingga Kilometer 36 (Gombak – Genting Sempah).
Selain itu, trafik turut perlahan sejauh 1.6 km dari Kilometer 44.7 hingga Kilometer 46.3 (Bukit Tinggi), juga berpunca daripada peningkatan kenderaan di lebuh raya berkenaan.
Situasi itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya meluahkan rasa hairan dengan keadaan tersebut.
Seorang pengguna media sosial berkata, situasi itu agak mengejutkan memandangkan kebiasaannya perjalanan ke ibu kota pada awal pagi lebih lancar.
“Awal sangat masuk KL (Kuala Lumpur) ni, aduh… orang kerja baru nak rasa jalan lancar,” kata pengguna @8888.
Seorang lagi pengguna, @Lily Lynn turut menyuarakan perkara sama dan menyifatkan kesesakan berlaku terlalu awal.
“Aik… esok cuti lagi kan, awal benar,” katanya.
Sementara itu, @Darlieynna pula berseloroh dengan mencadangkan orang ramai kekal berada di kampung lebih lama bagi mengelakkan kesesakan.
“Awal sangat ni. Stay (tinggal) la kampung sampai awal puasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














