SHAH ALAM – Sudah menjangka transisi ke tubuh lebih besar mengundang kecaman, pelakon Meerqeen mengurangkan penggunaan media sosial daripada 12 jam sehari kepada enam jam bagi memastikan misi mendapatkan berat diingini tercapai.
Meerqeen atau nama lengkapnya, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 24, berkata orang luar yang tidak faham tujuannya menambah berat badan sehingga mencecah 90 kilogram adalah demi watak untuk sebuah filem besar, bukan disebabkan sakit.
“Peminat saya faham, tetapi orang luar yang tak ikuti saya di media sosial atau mungkin haters (pembenci) kata tubuh saya nampak gemuk tak macam dulu kerana penyakit.
“Rasa tak mahu layan atau takut tak nak teruskan menyebabkan saya pernah bagitahu dulu nak berehat dari media sosial sekejap. Saya dah jangka benda ini akan jadi.
“Sekarang ‘screen time’ saya daripada 12 jam, jadi enam jam atau kurang, itu pun untuk hal penting contohnya muat naik hantaran membabitkan kerja dan perkara yang memang saya wajib buat. Itu saja,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Gempak Most Wanted Awards 2025 (GMWA2025) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.
Diumumkan sebagai penerima gelaran utama anugerah itu, Meerqeen yang turut membawa pulang trofi Selebriti Tergempak turut menyatakan segala telahan tidak menjejaskan mentalnya.
“Sebelum ini saya pernah berdepan tohmahan lebih teruk, sekali gus apa yang saya hadapi kali ini tidak memberi kesan terhadap mental saya.
“Cuma risau ganggu misi untuk ke arah mendapatkan bentuk tubuh seperti tuntutan watak. Mungkin saya pun tak kongsi aktiviti di gimnasium, jadi orang luar tak tahu tujuan melakukan perubahan ini.
“Sebab itu saya cuba elak (media sosial) kerana itu memakan masa serta komitmen saya. Kini lebih kepada fokus terhadap latihan fizikal serta pembangunan karakter,” ujarnya.
Menurutnya lagi, hasil daripada mengurangkan masa di skrin telefon membuatkan kehidupannya lebih tenang sekali gus dapat fokus terhadap misinya.
“Perjalanan buat badan (sado) bukan mudah. Saya kena besarkan tubuh dulu, baru cantik. Jadi rutin saya di gim adalah lima kali seminggu, pergi tengah hari, balik pukul 3 petang dan kemudian habiskan masa dengan keluarga,” katanya.
Belum sedia mendedahkan filem yang bakal dilakonkan, Meerqeen mengakui tidak mengambil tawaran lain sehingga masuk set naskhah tersebut sekitar Julai nanti.
Sementara itu, menerusi GMWA2025, naskhah lakonannya bersama Qasrina Karim turut memenangi Drama Tergempak hasil undian peminat serta barisan juri profesional. – KOSMO! ONLINE














