JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Lampung Tengah, wilayah Lampung digemparkan dengan penemuan rangka manusia lelaki di dalam sebuah kebun, lapor portal berita Liputan 6.
Penemuan mengejutkan itu dibuat oleh seorang penduduk dikenali sebagai Daliman pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) di Desa Gunung Agung semalam.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan rangka manusia itu berada dalam keadaan terlentang sambil memakai jaket berwarna hitam dan seluar.
Ketua Polis Lampung Tengah, AKBP Charles Pandapotan Tampubolon berkata, Daliman menemui rangka manusia itu ketika keluar mencari buluh di belakang rumahnya.
“Sebelum sampai ke kawasan rumpun buluh, dia dikejutkan dengan kemunculan tengkorak. Dia menyangka ia adalah seorang lelaki yang sedang berbaring, namun selepas diperiksa, rupa-rupanya tengkorak.
“Rangka manusia itu memakai jaket dan seluar ketika ia ditemukan,” kata Charles.
Ia kemudian dipindahkan dan dibawa ke Hospital Bhayangkara untuk bedah siasat. – AGENSI














