IPOH – Rata-rata pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Ipoh menuju ke arah Selatan panik apabila laluan tersebut dinaiki air lewat petang tadi.
Menurut perkongsian video oleh aida.btrsya di media sosial Thread, dapat dilihat barisan kenderaan cuba melalui kawasan berkenaan biarpun ia dinaiki air.
Turut dapat dilihat pemandu-pemandu kenderaan yang keluar dari kenderaan masing-masing untuk melihat keadaan jalan yang digenangi air.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan orang ramai yang berhasrat menggunakan laluan berkenaan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Tahun Baru Cina.
Seorang pengguna Thread bernama fikra.hazim berkata, air telah surut sekitar 8.30 malam tadi dan orang ramai tidak perlu bimbang untuk menggunakan laluan berkenaan.
“Alhamdulillah, dah surut air di situ. Aku baru lalu tadi pukul 8.30 malam. Selamat,” katanya di ruang komen hantaran berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, laluan untuk ke arah Kuala Kangsar masih lagi berhadapan dengan kesesakan lalu lintas.
Seorang lagi pengguna Thread, izreennasa turut memuat naik video keadaan jalan raya di lokasi sama yang dinaiki air semalam.
“Sampai Waze pun pening dah nak gunakan laluan mana tetapi pagi tadi ikut laluan sama okay sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE














