fbpx
Tangkap layar akaun rasmi Facebook Bersatu.

Akaun Facebook rasmi Bersatu kembali diurus pentadbir parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Akaun Facebook rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini kembali diuruskan oleh pentadbir rasmi parti itu.

Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia (Armada), Harris Idaham Rashid berkata, laman Facebook berkenaan disabotaj sejak beberapa hari lalu.

Menurut beliau, pengambilalihan semula akaun itu berjaya diselesaikan pukul 12.41 tengah hari tadi dan pengurusan akaun sudah kembali kepada pegawai-pegawai Bersatu.

“Hantaran berunsur sabotaj bermula pada 14 Februari 2026, pukul 8.54 pagi dan berakhir pada pukul 11.44 malam pada tarikh yang sama. Dalam hampir 15 jam itu sebanyak 21 hantaran telah dibuat oleh salah seorang ‘administrator’.

“Hantaran tersebut jelas menonjolkan secara positif mantan Timbalan Presiden Bersatu dan sebaliknya terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harris Idaham berkata, keempat-empat ‘administrator’ yang terlibat ketika tempoh sabotaj tersebut telah berjaya dikeluarkan daripada sebarang akses akaun itu.

Menurut beliau, kejadian itu membuktikan bahawa memang wujud “duri dalam daging’ dan ‘api dalam sekam’ dalam kalangan segelintir kecil ahli Bersatu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI