KUALA SELANGOR – Malang menimpa seorang remaja lelaki apabila maut selepas motosikal ditungganginya melanggar sebuah kereta di persimpangan Jalan Parit Baru, Jeram, hari ini.
Kejadian yang meragut nyawa mangsa berusia 14 tahun itu turut tular di media sosial menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 13 saat yang memaparkan detik pelanggaran terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 sebelum dipercayai melanggar sebuah Toyota Vios dipandu wanita berusia 42 tahun yang tidak sempat berhenti di persimpangan berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














