KUALA LUMPUR – “Antara doa saya, nak tengok dia bahagia juga.”
Demikian kata pelakon Nora Danish, 44, yang gembira melihat bekas suaminya, Nedim Nazri kini bahagia di samping kekasihnya yang juga aktres, Nadia Brian.
Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif berkata, walau apa yang telah terjadi dan akan berlaku pada masa hadapan, Nedim tetap susuk seorang bapa kepada anak mereka bersama.
“Nedim berhak untuk bahagia. Walaupun kami dah memilih untuk berpisah, tak bermakna saya membencinya.
“Dia tetap susuk yang pernah saya kenali dan cintai suatu ketika dahulu sampai kami ada anak bersama.
“Untuk itu, selama-lamanya dia ada satu tempat yang istimewa dalam jiwa saya,” katanya kepada Kosmo! Online pada rakaman podcast, Habis Cerita kendaliannya bersama Natasha Ozeir dan Datuk Seri Rossa baru-baru ini.
Ditanya sama ada pernah bertemu secara peribadi atau terserempak dengan Nadia, jawab Nora: “Setakat ini belum ada.
“Sejujurnya, saya tahu fasal mereka pun dengan gambar yang dikongsikan.
“Macam kalian juga. Tengok gambar yang kalian tulis (cerita mereka), barulah saya nampak. Itu sahajalah dan saya saya memang tiada masalah dengan rakan-rakan artis yang lain.”
Sementara itu, ditebak pertanyaan tentang penerimaan anak Mohamed Neqayl Nedim (Ney Ney) tentang kehadiran Nadia Brian dalam kehidupan, Nora berkata, anaknya itu sangat bijak menyesuaikan diri dalam mana-mana keadaan.
“Ney Ney seorang yang cepat mesra dengan sesiapapun. Dia seorang yang sangat pengasih — dengan siapa pun dia jumpa, dia akan okey sebab dia mudah mesra dengan orang,” katanya.
Untuk rekod, Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl.
Selepas tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan itu disahkan bercerai talak satu pada 19 Jun 2024. – KOSMO! ONLINE














