PETALING JAYA – Keputusan berhubung pelantikan, penyambungan atau penamatan kontrak staf di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang serta kuasa statutori yang telah ditetapkan.
UKM memaklumkan, pihaknya mengambil maklum berhubung penyebaran kandungan di media berkaitan isu pemecatan dan penamatan kontrak lebih 20 orang staf universiti itu seperti dilaporkan sebelum ini.
Menurut UKM, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi awam yang berteraskan prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, setiap keputusan pentadbiran dibuat mengikut kerangka perundangan serta proses yang telah digariskan.
“UKM sentiasa mematuhi peraturan dan garis panduan pelantikan staf yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Setiap keputusan juga melalui proses pusingan kerja dan pertimbangan profesional yang menyeluruh, berdasarkan keperluan semasa serta kelestarian organisasi dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah UKM, pihak universiti akan terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab dan mandatnya sebagai salah sebuah institusi pendidikan tinggi awam di Malaysia. – KOSMO! ONLINE














