IPOH – Harga barangan keperluan asas akan mengalami kenaikan menjelang sambutan Tahun Baru Cina dan Ramadan pada tahun ini kerana peniaga perlu menampung kos bayaran kerja lebih masa (OT) pekerja pada musim perayaan tersebut.
Namun, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak , Woo Kah Leong memaklumkan kenaikan itu perlu dalam radius yang kecil supaya tidak membebankan pengguna.
“Saya faham, utamanya peniaga yang kena bekerja waktu Tahun Baru Cina, memang ada yang akan menaikkan harga sikit-sikit.
“Tak apa, saya rasa kalau sikit-sikit untuk menampung kos OT sewaktu bekerja dalam musim Tahun Baru Cina, tak ada masalah tetapi janganlah menaikkan harga secara mendadak.
“Sebab kalau menaikkan harga secara mendadak, orang perantau yang asalnya berada di kampung halaman, first impression adalah harga barang di kampung sendiri sangat mahal dan akan menyebabkan mood mereka tak baik,” katanya kepada pemberita di Pasar Besar Ipoh di Ipoh hari ini.
Katanya lagi, kenaikan mendadak harga barangan itu juga akan menyebabkan ramai pengguna akan terjejas termasuk pelancong.
“Saya rasa peniaga yang naikkan harga secara mendadak tu, tahun-tahun yang akan datang mungkin pelancong pun tak akan pergi kedai itu lagi. Ini adalah satu contoh di mana untung seketika tapi rugi seumur hidup. Saya nasihatkan supaya jangan menaikkan harga secara mendadak dalam Tahun Baru Cina ataupun biarpun Raya Aidilfitri yang akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














