fbpx
ANGGOTA polis berkawal ketika seorang wanita keluar dari sebuah pusat mengundi di Dhaka hari ini. – AFP

Rakyat Bangladesh keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DHAKA – Rakyat Bangladesh keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya pertama sejak kebangkitan berdarah  2024, dengan parti-parti yang dihancurkan semasa pemerintahan Sheikh Hasina kembali bertanding menentang gabungan pimpinan  Islamis.

Orang ramai berbaris panjang di luar pusat mengundi di ibu negara Dhaka ketika pengundian dalam pilihan raya yang sangat dinanti-nantikan itu dibuka pagi tadi. Negara  Asia Selatan itu mempunyai 170 juta penduduk.

Lebih 300,000 anggota tentera dan polis turut dikerah di seluruh negara. Menjelang pengundian, pakar-pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB)  memberi amaran tentang ‘peningkatan ketidak toleransi,  ancaman dan serangan di samping ‘tsunami maklumat salah’,   terutamanya menyasarkan jutaan pengundi muda.

“Saya mengundi pada 1991 dan hari ini selepas bertahun-tahun, saya membuang undi di sini,” kata Nur Alam Shamim, 50, yang merupakan pengundi pertama di New Model Degree College, kawasan parlimen Dhaka-10.

Calon perdana menteri utama, Tarique Rahman, 60, yakin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) pimpinannya berupaya  merampas kembali kuasa, namun  beliau berdepan  cabaran sengit daripada parti Islamis terbesar di negara majoriti Muslim itu, Jamaat‑e‑Islami.

Ketua Jamaat, Shafiqur Rahman, 67, melancarkan kempen akar umbi yang berdisiplin, dan jika menang, bekas tahanan politik itu boleh memimpin kerajaan seumpamanya  yang pertama di Bangladesh.

“Hari ini sangat penting. Ia akan menentukan hala tuju dan masa depan negara ini,” kata pemimpin interim Muhammad Yunus  yang akan meletak jawatan sebaik sahaja kerajaan baharu mengambil alih kuasa.

Pemenang Hadiah Nobel Keamanan  berusia 85 tahun itu memimpin Bangladesh selepas  15 tahun pemerintahan Sheikh Hasina berakhir dengan penyingkirannya pada Ogos 2024. 

Pentadbiran Muhammad Yunus telah melarang Liga Awami pimpinan Sheikh Hasina  daripada bertanding dalam pilihan raya ini.

Sheikh Hasina, 78, dijatuhi hukuman mati tanpa kehadirannya  atas jenayah kemanusiaan kerana tindakan berdarah terhadap penunjuk perasaan semasa bulan-bulan terakhir dia  berkuasa. Dia masih  bersembunyi di negara jiran, India.

Yunus juga memperjuangkan piagam pembaharuan demokrasi menyeluruh untuk merombak apa yang beliau sebut sebagai sistem kerajaan yang  rosak dan untuk mencegah Bangladesh  kembali kepada pemerintahan satu parti.

Seramai 127 juta pengundi juga akan memutuskan dalam satu referendum sama ada untuk menyokong cadangan had penggal perdana menteri, dewan atas parlimen baharu, kuasa presiden yang lebih kuat, dan kebebasan kehakiman yang lebih besar.

Pengundi akan memilih 300 ahli parlimen secara langsung, dengan tambahan 50 wanita dipilih daripada senarai parti.

Pengiraan secara manual bermula selepas pusat mengundi ditutup pada jam 4. 30 petang (waktu tempatan). Keputusan dalam pilihan raya lalu diketahui beberapa jam kemudian, namun  pengiraan kali ini juga termasuk undi referendum. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN