KUALA LUMPUR – Pengacara Nabil Mahir memaklumkan isterinya yang juga penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat kini mengalami sedikit komplikasi pada bahagian jahitan di perutnya selepas melahirkan cahaya mata ketiga, Anggun Mikayla pada 26 Januari lalu.
Menurut Nabil, bahagian jahitan itu dikatakan sedikit terbuka dan bernanah sehingga mereka perlu ke hospital untuk membersihkannya.
“Kelahiran anak ketiga adalah yang paling sakit buat Ayda. Dalam bilik bedah pun, matanya berair tanpa henti.
“Ketika ini, perutnya pula berlubang sebab jahitan pembedahannya terbuka. Jadi, setiap hari, kami perlu pantau keadaan kesihatannya.
“Bahagian jahitan itu bernanah. Selang sehari, kami akan pergi ke hospital untuk bersihkan luka, saya mohon kalian titipkan doa yang baik buat Ayda,” katanya ketika ditemui majlis sidang media Puasa Tetap Puasa & Raya Tetap Raya RTM 2026 di sini, baru-baru ini.
Katanya, perkara tersebut mula dirasai Ayda selepas lukanya ‘bocor’ sebelum membawanya ke hospital untuk menerima rawatan.
“Kami perasan perkara itu selepas seminggu Ayda bersalin. Ketika nak alih kaki, tiba-tiba dia dengar bunyi putus.
“Mulanya, kami ingatkan dia sakit biasa sahaja. Keesokannya kami nampak ada ‘kebocoran’ pada luka pembedahan, dia memang tak berhenti menangis,” ujarnya.
Terdahulu, Nabil dan Ayda mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021 dan kini mereka sudah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ana Nayla, Aali Mateen dan Anggun Mikayla. – KOSMO! ONLINE














