fbpx
Amir Hamzah menjawab soalan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini - Foto JABATAN PENERANGAN

Kerajaan Madani warisi lebihan bayaran cukai yang tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani mewarisi jumlah lebihan bayaran cukai yang tinggi, namun tetap menunaikan tanggungjawab mengendalikan kes bayaran balik cukai sebaiknya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bayaran balik lebihan cukai yang diselesaikan pada tahun 2025 adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu RM22.45 bilion.

“Jika dibandingkan bayaran balik lebihan cukai dalam tiga tahun terkini (2023-2025), Kerajaan Madani melunaskan bayaran balik sebanyak RM56 bilion, iaitu 50 peratus lebih tinggi daripada bayaran balik tahun 2020-2022 sebanyak RM37 bilion.

“Sebahagian bayaran balik berjumlah RM7.5 bilion telah dibuat dalam bulan Disember 2025 berbanding komitmen awal RM4 bilion yang diumumkan Perdana Menteri pada 6 Disember 2025,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata, semua kes lebihan cukai bagi tahun 2022 telah diselesaikan berbanding 2.7 juta kes pada tahun 2024.

Tambahnya, walaupun kerajaan berjanji untuk menyelesaikan kes bagi tahun taksiran 2023 pada suku pertama 2026, pihaknya yakin dapat menyelesaikannya lebih awal iaitu pada Februari 2026.

“Sehingga 10 Februari 2026, sebanyak RM5.4 bilion telah dibuat bayaran balik yang melibatkan 38,629 kes.

“Bayaran balik bagi lebihan cukai tahun 2024 pula disasarkan untuk diselesaikan sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Dalam masa sama, kata beliau, bayaran balik tanpa mengira usia kes akan terus dibuat kepada semua pembayar cukai selain syarikat terutama pembayar cukai individu.

Beliau berkata, bagi memastikan bayaran balik dapat dibuat mengikut tempoh sepatutnya, pelbagai pendekatan dilaksanakan termasuk pengagihan bayaran balik berasaskan keutamaan usia tunggakan melalui konsep ‘first in, first out’.

Katanya, kerajaan turut melaksanakan bayaran penuh bagi tunggakan lebihan cukai individu serta memberi keutamaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) atau syarikat yang menghadapi masalah aliran tunai.

“Kerajaan komited untuk terus memastikan bayaran balik lebihan cukai dapat dilaksanakan sepenuhnya secara adil, telus dan saksama dengan mengambil kira kepentingan semua pembayar cukai.

“Langkah ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh kecekapan pentadbiran cukai serta memastikan hak pembayar cukai dilindungi, selaras dengan agenda reformasi fiskal Kerajaan Madani,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI