fbpx
Hishamuddin menyerahkan memorandum kepada wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung skim penipuan forex dan kripto di Putrajaya hari ini.

162 mangsa skim forex, kripto mahu campur tangan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seramai 162 mangsa penipuan skim pelaburan forex dan mata wang kripto mahu Jabatan Peguam Negara (AGC) campur tangan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap dua syarikat pelaburan yang menjalankan aktiviti berkenaan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya dimaklumkan, laporan telah dikemukakan mangsa, namun tiada tindakan diambil.

Beliau berkata, pihaknya juga difahamkan, seramai 162 mangsa terlibat membabitkan kerugian dianggarkan RM63 juta.

“MHO membawa keluhan dan harapan individu yang mana mereka mengesyaki sudah ditipu dan diperdaya dua syarikat membabitkan penipuan forex dan mata wang kripto.

“Semua mangsa ini merayu kepada Jabatan Peguam Negara supaya dapat memberikan pertimbangan dan perhatian sewajarnya terhadap permasalahan dihadapi mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum kepada wakil AGC berhubung kes itu hari ini.

Katanya, pihaknya dimaklumkan program pelaburan disertai mereka itu didakwa diwujudkan semata-mata hanya untuk mengutip modal tanpa ada sebarang proses untuk memperniagakan modal pelaburan pelabur.

Hishamuddin berkata, beberapa mangsa sebelum ini sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung penipuan yang dijalankan syarikat itu, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan.

“Sebahagian mangsa mendakwa laporan yang dibuat sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan ada juga alasan bahawa kes ini perlu dikendalikan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kami mahu AGC dapat menilai dengan sewajarnya sama ada wujud elemen kesalahan jenayah, khususnya berkaitan penipuan, pecah amanah dan pengumpulan dana pelaburan secara tidak sah,” katanya.

Sebelum ini, hampir 200 individu mendakwa ditipu seorang lelaki yang menawarkan program pelaburan forex dan mata wang kripto tidak berlesen, mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN