MENGAMBIL keputusan untuk tampil di pentas Dewi Remaja 2025 merupakan satu langkah berani bagi Nylea Adzlan untuk mengembangkan lagi potensi yang ada dalam dirinya.
Lebih membanggakan, dia yang juga merupakan siswi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja 2025.
Nylea Adzlan yang lebih dikenali dengan nama pentas Nylea Aelyn berkata, dia gembira dengan kemenangannya itu dan menganggap segala usahanya untuk pertandingan itu akhirnya membuahkan hasil.
“Ketika menyertai pertandingan ini saya tidak meletakkan sasaran sebagai juara kerana niat saya adalah untuk mencari pengalaman sebagai pengacara dan berlakon.
“Saya bersyukur atas kemenangan ini dan segala pengorbanan yang saya lakukan akhirnya membuahkan hasil,” kata gadis manis berusia 24 tahun.
Langkah Nylea Aelyn ke pentas Dewi Remaja sebenarnya didorong oleh neneknya yang sering mengikuti perkembangan Dewi Remaja. Oleh itu, sejak di bangku sekolah Nylea Aelyn sudah digalakkan untuk cuba menyertai pertandingan tersebut selepas tamat alam persekolahan.
Dia kemudiannya, menyahut cabaran itu dan memberanikan diri untuk turut serta di dalam pertandingan tersebut dan kejayaan mengiringi langkahnya apabila dinobatkan sebagai juara.
Kejayaannya itu juga membuka peluang untuk dirinya melangkahkan kaki di dalam bidang lakonan.
Impiannya tercapai, apabila dia kini mendapat tawaran untuk berlakon.
“Sebelum menyertai Dewi Remaja saya sendiri tidak mengetahui saya mempunyai bakat untuk berlakon.
“Alhamdulillah, kejayaan ini juga membolehkan saya mendapat tawaran untuk berlakon dalam satu telemovie,” jelasnya yang merupakan anak kedua daripada tiga adik beradik.

Walaupun dia kini semakin bergerak aktif dalam dunia hiburan, Nylea Aelyn akan tetap meneruskan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di UKM hingga selesai.
Ketika ini dia sedang berada di tahun akhir pengajian.
Nylea Aelyn berkata, perjalanan akademiknya di institusi pengajian tinggi bermula di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah di Perak dengan mengambil Diploma Perakaunan.
“Apabila saya belajar perakaunan saya juga belajar tentang subjek ekonomi.
“Pendedahan kepada subjek ekonomi membuatkan saya sedar minat sebenar lebih cenderung ke arah ekonomi,” katanya.
Sehubungan itu, dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang ekonomi.
Di luar akademik, Nylea Aelyn juga aktif sebagai penari di Pusat Kebudayaan UKM.
Sejak kecil dia memang minat menari dan ketika itu hanyalah sekadar hobi dan apabila melangkah masuk ke alam universiti Nylea Aelyn menjadikannya sebagai sesuatu yang serius.
Bakat tariannya menyerlah hingga membawanya ke pentas berprestij termasuk membuat persembahan di acara iFuture dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu.
Penglibatan yang aktif dalam bidang kebudayaan juga telah membolehkannya dilantik sebagai Ikon Kebudayaan Pusat Kebudayaan UKM, satu pengiktirafan terhadap komitmen dan sumbangannya dalam bidang seni budaya.
Menutup bicara, Nylea Aelyn menitipkan pesan buat generasi muda di luar sana agar berani mencuba menggapai impian yang dihajati.
“Tidak ada sesiapa yang akan ‘push’ diri kita kecuali kita sendiri, jika kita minat terhadap sesuatu perkara mulakan langkah pertama untuk mencuba mengejar impian.
“Namun, dalam kita cuba untuk mengejar impian, pelajaran tidak wajar diketepikan kerana pendidikan adalah pelan sokongan yang akan sentiasa memberi nilai tambah dalam apa jua bidang yang diceburi,” pesannya.














