BENTONG – Jabatan Siasatan Jenayah Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menyita 71 motosikal menerusi Op Samseng Jalanan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak bermula 7 Februari sehingga semalam.
JSPT Bukit Aman dalam kenyataan berkata, sebanyak 255 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi dijalankan selama dua hari.
Menurutnya, operasi dijalankan melalui Unit Risikan/Operasi bersama Peronda Lebuh Raya Zon Timur (KL–Lancang) Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bentong.
“Pihak polis berjaya mengesan sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya termasuk bersaing sesama sendiri, zig-zag, potong-memotong dan melawan arus di kawasan Lancang.
“Sebanyak 16 motosikal diambil tindakan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta 71 motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Kenyataan itu menambah, kesemua individu yang terlibat telah dibawa ke BSPTD Bentong untuk tindakan lanjut.
Justeru, JPST Bukit Aman menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain. – KOSMO! ONLINE














